KUALA LUMPUR - Unifi mewujudkan beberapa insentif untuk pelanggannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menggalakkan mereka berada di dalam rumah.
Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata, tawaran-tawaran istimewa akan diberikan supaya pelanggan dapat memanfaatkan sepenuhnya masa mereka.
"Unifi menawarkan akses secara percuma untuk kesemua saluran di unifi TV, termasuk saluran-saluran premiumnya bagi memenuhi kehendak tontonan yang pelbagai daripada semua ahli keluarga," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, akses percuma itu turut boleh dinikmati menerusi akaun unifi playTV pengguna di mana ia boleh diakses oleh sehingga lima pengguna bagi menonton saluran dan kandungan digital berbeza pada masa yang sama.
"Langkah membuka kesemua saluran dan kandungan premium kami merupakan antara insentif kami untuk menggalakkan orang ramai kekal berada di rumah.
"Kami juga akan membantu mengurangkan kerisauan yang pelanggan-pelanggan kami hadapi sepanjang tempoh ini. Ini termasuklah keperluan untuk mempunyai data yang lebih tinggi dan sokongan daripada pihak teknikal," katanya.