Tiga cabang perkhidmatan ATM bantu polis: PAT

Iklan
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan). - Foto Sumber Internet

KUALA LUMPUR- Ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bekerjasama membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau dan memastikan orang awam mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa kerajaan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, jumlah ketetapan keanggotaan bagaimanapun masih dalam peringkat perbincangan sebelum tentera dikerah pada Ahad ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, perbincangan telah dibuat bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kerjasama yang boleh diberikan pihak ATM bagi membantu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Kami memang sudah berbincang maka kami sudah ambil ketetapan bahawa ATM akan membantu dalam membuat rondaan bersama dan sebagainya.

Iklan

"Ketiga-tiga cabang ATM (laut, udara dan darat) akan diselaraskan dalam jawatankuasa kerja mengikut kesesuaian untuk ditempatkan di seluruh negara," katanya kepada Bernama hari ini.

Affendi Buang. - Foto Sumber Internet

Menurut Affendi, langkah itu dibuat bagi mengurangkan beban warga PDRM dalam penugasan sepanjang perintah berkenaan selain mahu melihat keberkesanannya terhadap orang awam yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dalam tempoh dua minggu ini.

Iklan

Katanya, langkah yang diambil kedua-dua pasukan keselamatan ini menunjukkan semangat kerjasama yang perlu diteruskan dalam menangani apa jua krisis yang melanda negara.

"Semestinya ini akan memantapkan lagi penugasan (ATM dan PDRM) dan pada masa sama, ini adalah sebahagian daripada tugas tentera di masa aman.

"Bukan sahaja pada masa darurat bahkan ia sama seperti bila tentera dikerahkan semasa bencana alam seperti banjir,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19).

Pada 16 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai 18 Mac sehingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.-Bernama