SHAH ALAM -"Awak pun hero kami." Demikian kata-kata pelanggan penghantar makanan bagi menghargai golongan barisan hadapan yang berisiko dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).
Penghantar makanan berada di barisan hadapan ketika Perintah Pergerakan Kawalan dikuatkuasakan setelah orang ramai perlu berada di rumah dan perkhidmatan mereka amat diperlukan bagi mendapatkan makanan.
Pelayar Twitter dikenali Nasrnazim berkongsi kisah apabila sepupunya yang bekerja sebagai penghantar makanan Foodpanda telah menerima nota sebagai tanda terima kasih daripada pelanggannya.
Bukan sekadar ucapan terima kasih, pelanggan berkenaan juga memberi wang RM10 dan air percuma kepada sepupunya.
Nota ringkas itu juga berbunyi,"Terima kasih!, bawa moto (motosikal) berhati-hati, tugas awak hantar makanan kepada pelanggan supaya pelanggan tak lapar tapi awak pun kena makan. Awak pun ditugaskan untuk jaga badan sendiri. Terima kasih sekali lagi. Awak pun hero kami!."
Kisah penuh inspirasi ini menarik perhatian netizen yang menyifatkan mereka adalah wira negara dan menasihatkan agar tidak mengabaikan saranan pihak berkuasa agar menitik berat aspek pencegahan.
Kata @syafaqela,"Walaupun ia nampak biasa sekurangnya kita menghargai mereka (penghantar makanan)."
Menurut @nazrinsabri pula,"Walaupun pelanggan sekadar memberi mesej supaya berhati-hati di jalan raya, itu pun sudah terharu."
@aliasyakob pula berharap agar orang ramai terus menghargai golongan ini kerana mereka sedang berkhidmat untuk masyarakat.