KUALA TERENGGANU - Permintaan tinggi menyebabkan bekalan 400 unit cecair pembasmi kuman yang tiba di sebuah farmasi di sini habis terjual dalam tempoh lima jam, semalam.
Penjaga Stok Farmasi Gpharmax Pasir Panjang, Nurul Izni Abdulllah berkata, bekalan topeng muka dan cecair pembasmi kuman di kebanyakan farmasi di sini masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan setiap hari.
Menurutnya, pihaknya ada menerima stok baharu Khamis lalu dan ia habis tidak sampai sehari.
"Kami tempah dalam 1,000 cecair pembasmi kuman namun yang sampai hanya 400 unit mengandungi 70 mililiter (ml).
"Dalam pagi sampai stok, tak sampai petang dah habis. Itu pun kami hadkan pembelian tidak melebihi dua unit untuk seorang pelanggan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.
Katanya, bekalan cecair pembasmi kuman di farmasi itu telah terputus sejak dua minggu lalu dan stok baru sampai semalam selepas ditempah sejak lebih seminggu lalu.
"Kita pesan bekalan dengan 10 buah syarikat pembekal, tetapi hanya dua syarikat yang hantar bekalan.
"Jadi, kita tak boleh nak jangka bila stok baharu sampai," katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya bekalan topeng muka terputus hampir sebulan lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada pelanggan, situasi sama berlaku di kebanyakan farmasi yang dikunjungi mereka.
"Ramai pelanggan datang ke sini selepas barangan yang dicari (topeng muka, 'hand sanitizer') tiada di farmasi lain.
"Dari situ kita dapat tahu situasi sama turut dialami farmasi lain. Macam topeng muka tak banyak syarikat pembekal yang ada dan syarikat biasa yang kita order pun tidak sampai.
"Jadi kita harap semua pelanggan dapat bersabar dengan situasi ini. Mungkin akan sampai juga stok ini namun tidak dapat dipastikan bila," katanya.