SIMPANG PULAI - Lebih dua jam masa diambil oleh pasukan bomba bagi membersihkan lebih 10,000 minyak sawit yang tumpah dari sebuah lori tangki selepas terbabit kemalangan di KM290, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 5.44 pagi itu, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori kontena melanggar belakang lori tangki terbabit hingga berlaku kebocoran serta melimpah ke lebuh raya.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Shahpri Sharuddin berkata, seramai 13 anggota termasuk lapan anggota dari BBP Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian.
"Kejadian itu tidak melibatkan mangsa tersepit. Pemandu lori kontena yang dilaporkan cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.
"Pemandu lori tangki berusia 50-an pula tidak cedera. Operasi diteruskan dengan membuat saluran ke longkang lebuh raya apabila minyak sawit mula membanjiri jalan,” katanya.
Menurutnya, operasi pembersihan minyak dijalankan sepanjang satu kilometer.
"Anggota bertindak menyembur air dari jentera tangki milik balai Simpang Pulai bagi membersihkan kesan licin akibat minyak tersebut.
"Tindakan itu dilakukan demi keselamatan pengguna lebuh raya. Keseluruhan operasi tamat pada jam 7.50 pagi,” katanya.