KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan pada Rabu lalu bukan sahaja mencegah orang awam untuk keluar dari rumah bahkan kadar indeks jenayah turut menunjukkan penurunan di kebanyakan negeri.
Penurunan kadar indeks jenayah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumum kerajaan pada Isnin lalu akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang pada ketika ini mencatat jumlah 1,030 kes positif jangkitan itu.
Tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati selain keadaan trafik yang bergerak lancar di kebanyakan jalan utama terutama di ibu negara dan ibu negeri yang selalunya sesak pada sebelah pagi, laporan berhubung kejadian jenayah juga berkurangan.
Malah, perintah kawalan itu juga menyebabkan sebahagian besar Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah sendiri turun padang untuk melihat keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan selain menyampaikan mesej itu semasa sekatan jalan raya dan di kawasan tumpuan orang ramai, yang secara tidak langsung ‘menggerunkan’ penjenayah.
Paling ketara menunjukkan penurunan kadar indeks harian jenayah di Sarawak dan Terengganu iaitu mengalami penurunan kira-kira 50 peratus iaitu separuh daripada biasa.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, sebelum ini laporan yang diterima di seluruh negeri mencecah kira-kira 200 hingga 250 kes sehari, tetapi sejak dua hari lepas ia hanya sekitar 100 kes sehari.
Sarawak pula hanya melaporkan lapan kes jenayah curi pada Rabu berbanding 15 kes pada hari sebelumnya, tetapi meningkat semula kepada 14 kes semalam iaitu hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
Selain dua negeri itu, Pulau Pinang yang biasanya mencatat purata 14 kes sehari turut menunjukkan penurunan ketara dengan hanya sembilan kes dilapor semalam.
Begitu juga di Pahang, Kedah, Kelantan, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor - semuanya mencatatkan penurunan kadar jenayah antara satu dan 10 peratus.
Pun begitu, lain pula yang berlaku di Perlis apabila negeri berkenaan mencatat peningkatan sedikit bagi kejadian jenayah melibatkan curi dan pecah rumah.
"Jenayah terlibat adalah curi dan pecah rumah yang meningkat satu hingga dua kes, namun keadaan adalah terkawal,” kata Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad. - Bernama