Kekerapan perjalanan tren dikurangkan mulai esok

Iklan
Kekerapan perjalanan tren bagi perkhidmatan ETS, KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link dikurangkan berkuat kuasa esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan 31 Mac ini. - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengurangkan kekerapan perjalanan tren bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar, KTM Komuter dan Skypark Link berkuat kuasa esok sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan 31 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Ir Kamarulzaman Zainal berkata, perkhidmatan ETS akan beroperasi sebanyak lapan perkhidmatan sehari berbanding 40 ketika ini, KTM Antarabandar 10 perkhidmatan berbanding 18 dan KTM Komuter akan beroperasi sebanyak 164 perkhidmatan berbanding 208 sehari.

Iklan
Iklan

"Operasi komuter pada hari minggu pula akan dikurangkan kepada 138 perkhidmatan berbanding 167 sehari.

"Untuk tren Shuttle Tebrau yang beroperasi di antara Stesen Johor Bahru Sentral, Johor Bahru dan Stesen Woodlands, Singapura pula dikurangkan kepada lapan perkhidmatan sehari berbanding 31 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Turut dikurangkan perkhidmatan tren Skypark Link di antara Stesen Kuala Lumpur Sentral dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kepada lapan larian sehari berbanding 32 perkhidmatan ketika ini.

Kamarulzaman berkata, pengurangan itu dilakukan bagi mengoptimumkan operasi tren sejajar dengan arahan kerajaan sepanjang tempoh perintah kawalan bagi mengurangkan pergerakan rentas negeri.

Iklan

Beliau memaklumkan ia turut mengambil kira faktor pengurangan jumlah penumpang yang mendadak ekoran bertambahnya kes penyebaran wabak Covid-19.

Operasi semua tren itu akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan arahan terkini kerajaan.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, penumpang juga boleh membuat pindaan tarikh perjalanan atau pembatalan tiket di kaunter atau menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my.

Orang ramai digesa mendapatkan maklumat semasa operasi tren menerusi laman sesawang tersebut atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di 0322671200. - Bernama