KUALA LUMPUR - Orang ramai dilarang pergi ke mana-mana tempat termasuk pusat peranginan untuk aktiviti sosial sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu sehingga 31 Mac ini.
Walaupun pembayaran untuk percutian tersebut telah dibuat, orang ramai dinasihatkan untuk tidak meneruskan rancangan percutian mereka sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam soalan-soalan lazim mengenai Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan hari ini, berkata bagi yang telah membuat pembayaran penginapan hotel untuk bercuti sebelum perintah berkenaan diumumkan Isnin lalu, mereka disaran berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang.
"Bayaran balik wang yang telah ditempah menerusi hotel, penginapan berbayar atau homestay adalah tertakluk kepada terma dan syarat antara penyedia perkhidmatan dan pelanggan termasuk penyedia perkhidmatan dalam talian,” menurut MOTAC
Kesemua premis penginapan pelancong dibenarkan untuk beroperasi secara minimum, namun, semua tetamu hendaklah berada di dalam bilik penginapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Perkhidmatan sajian di premis penginapan pelancong pula hanya boleh dibuat bagi tujuan tempahan oleh tetamu hotel secara layanan dalam bilik (room service) manakala perkhidmatan dan fasiliti sampingan seperti kolam renang, ruang permainan gimnasium dan spa adalah tidak dibenarkan,” katanya.
Bagi tetamu premis penginapan pelancong yang terpaksa memanjangkan tempoh penginapan sepanjang perintah itu berkuat kuasa, mereka bolehlah mendaftar masuk ke premis penginapan pelancongan yang bersesuaian dengan bajet masing-masing.
"Bagaimanapun, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong adalah tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Sekiranya didapati terdapat tetamu yang positif koronavirus (Covid-19) di premis penginapan pelancong, mereka hendaklah segera menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) atau pusat kesihatan terdekat. - Bernama