LANGKAWI - Masih ada pelancong asing yang 'berdegil' dengan mandi dan berjemur di kawasan Pantai Cenang dan Pantai Tengah di sini, biarpun Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara sudah memasuki hari ketiga.
Pegawai Bencana, Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Langkawi, Lt (PA) Azamshah Apearal berkata, kedegilan pelancong itu kadangkala menyebabkan 10 anggota APM di Menara Penyelamat Pantai Cenang dan Pantai Tengah pening kepala melayan karenah mereka.
"Bendera merah dan papan tanda pemakluman memberi peringatan bahawa semua aktiviti air dilarang telahpun dibuat, namun memasuki hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan masih ada pelancong asing yang berada di pantai untuk mandi dan berjemur.
"Jika pelancong berada di pantai, nasihat dan teguran serta minta supaya beredar biasanya pelancong akur namun apabila anggota penyelamat pantai bergerak ke lokasi lain pelancong akan kembali semula untuk mandi ataupun berjemur," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati lebih 10 pelancong asing melakukan aktiviti seperti mandi dan berjemur di Pantai Cenang.
Azamshah berkata, antara alasan diberikan pelancong ialah mereka tidak tahu mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Biarpun pening kepala melayan perangai pelancong, 10 anggota penyelamat pantai tetap komited melaksanakan tugas. Mereka berada di pantai bermula jam 9 pagi hingga jam 7 malam bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi," katanya.
Selain anggota penyelamat pantai APM Daerah Langkawi, Bernama difahamkan anggota polis dan kakitangan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan turut melaksanakan pemantauan bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan di pantai itu dipatuhi. - Bernama