Pakej selamatkan ekonomi angkara Covid-19

Iklan

PENGUMUMAN pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM20 bilion oleh kerajaan Malaysia pada Februari lalu tertumpu kepada usaha menangani kesan penularan wabak Covid-19 terhadap ekonomi, menggalakkan pelaburan berkualiti sekali gus kebajikan rakyat terpelihara.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, antara perkara yang diutamakan adalah untuk memastikan perniagaan serta individu yang terjejas dapat melunaskan hutang-hutang mereka.

Iklan
Iklan

"Ini termasuklah pengecualian duti 100 peratus ke atas perjanjian penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, bantuan pembiayaan melalui institusi kewangan pembangunan dan penangguhan bayaran cukai.

"Pengurangan caruman KWSP bahagian pekerja daripada 11 peratus ke tujuh peratus juga dilihat mampu untuk menambahkan pendapatan boleh guna bagi para perkerja.

Iklan

"Selain itu, bantuan tunai sebanyak RM600 secara one-off kepada pemandu teksi, bas pelancong dan pemandu pelancong juga dapat meringankam beban kewangan mereka dalam tempoh terdekat ini,” kata Mohd Afzanizam ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, terdapat pelbagai sektor yang mendapat manfaat hasil daripada pakej rangsangan ekonomi ini.

Iklan

"Antaranya sektor berkaitan pelancongan, agromakanan, penerbangan, kesihatan, pembinaan, tenaga, telekomunkasi, pasaran modal dan pelabuhan.

"Insentif cukai, dana pinjaman serta pengecualian duti setem antara beberapa insentif yang boleh dimanfaatkan oleh industri-industri tersebut,” katanya.

Katanya, pakej rangsangan yang dikatakan mampu memastikan ekonomi kekal stabil adalah adalah pandangan subjektif kerana ia bergantung kepada berapa lama penularan wabak itu dapat dikekang.

"Buat masa ini Perintah Kawalan Pergerakan bertujuan untuk mematahkan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

"Sekiranya berjaya, maka aktiviti boleh kembali pulih, namun jika sebaliknya, berkemungkinan perintah ini akan dilanjutkan dan sudah tentu aktiviti ekonomi akan terus terencat,” katanya.

Penularan virus Covid-19 yang diisytihar pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ternyata melumpuhkan dunia terutama sektor ekonomi.

Mohd Afzanizam

Selain Malaysia, negara serantau lain seperti China, Hong Kong, Thailand, Taiwan, Indonesia dan Vietnam turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi.

Mohd Afzanizam berkata, tindakan itu adalah tindak balas normal berikutan kegawatan ekonomi berlaku kerana pihak kerajaanlah yang akan memainkan peranan untuk merancakkan perjalanan sesuatu ekonomi tersebut.

"Apabila kegawatan ekonomi berlaku, pihak swasta seperti syarikat-syarikat, para peniaga dan isi rumah cenderung untuk tidak berbelanja.

"Justeru, pakej rangsangan ini menjadi suatu pemangkin untuk menggalakkan sektor swasta turut serta berbelanja bagi menggerakkan ekonomi tersebut,” katanya.

Namun begitu terdapat negara yang terkesan dengan penularan virus maut ini tidak mengumumkan pakej rangsangan ekonomi antaranya Jepun dan Australia.

Menurutnya, jika perkara itu berlaku ekonomi negara terbabit bakal merudum dan boleh meleset untuk tempoh yang panjang.

"Kadar pengangguran akan meningkat sekiranya pihak kerajaan tidak mahu merangsang ekonomi mereka. Pakej rangsangan ekonomi setiap negara berbeza dari segi nilai.

"Malaysia, misalnya, mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$4.8 bilion (RM20 bilion) manakala Korea Selatan mengumumkan pakej rangsangan bernilai AS$9.9 bilion (11.7 trilion Won),” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, faktor yang menentukan jumlah sesuatu pakej rangsangan ekonomi bagi sesebuah negara bergantung kepada kesan gandaan kerana setiap ekonomi atau negara itu mempunyai kesan gandaan berbeza.

"Berdasarkan kajian kami, kesan gandaan kepada ekonomi atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hasil daripada perbelanjaan kerajaan adalah RM4.5. Ini bermaksud, bagi setiap RM1 perbelanjaan kerajaan, ia bakal menghasilkan RM4.50 KDNK.

"Kalau perbelanjaan kerajaan adalah RM2, kesan bergandanya adalah RM9. Justeru, kalau RM20 bilion, kesan pertambahan KDNK adalah RM90 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya itu hanyalah sekadar jangkaan berdasarkan bukti empirikal kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kesan gandaan.

"Faktor seperti sentimen pengguna, peniaga, pasaran kewangan, harga komoditi serta kecekapan dalam penyampaian langkah-langkah yang diumumkan," katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, banyak negara mengemukakan pelan rangsangan ekonomi yang menumpukan kepada beberapa kumpulan iaitu pengguna yang juga pekerja makan gaji, peniaga dan pemegang taruh dalam ekonomi.

"Malaysia turut melakukan perkara sedemikian kerana 85 peratus pengguna di negara ini adalah mereka yang makan gaji.

"Pada masa ini kita bukan cuba berusaha untuk melonjakkan ekonomi kerana itu akan menjadi tidak produktif. Matlamat kita adalah untuk menangani masalah sedia ada, masalah dihadapi oleh penduduk.

"Banyak negara membantu rakyat yang berdepan masalah beban hidup selepas mereka hilang punca pendapatan (misalnya cuti sementara tanpa gaji). Itu kumpulan pertama yang perlu dibantu,” katanya kepada Sinar Harian.

Barjoyai

Menurutnya, dijangkakan kelembapan ekonomi yang berlaku sekarang tidak akan banyak berubah dalam tempoh tiga ke enam bulan akan datang.

"Kita perlu bersedia untuk sekurangnya tiga ke enam bulan untuk menghadapi situasi ini. Tempoh ini sebenarnya jangka masa panjang terutamanya kepada mereka yang makan gaji.

"Peniaga resah kerana terpaksa menutup perniagaan atau kuangkan aktiviti perniagaan jadi pendapatan mereka tidak cukup.

"Secara keseluruhannya, semua rakyat Malaysia tidak kira apa golongan akan merasai kesan ini dan ia lebih serius daripada kegawatan ekonomi,” katanya.

Katanya, situasi terkini berbeza dengan kegawatan ekonomi kerana kesan penularan wabak ini terlalu mendadak.

"Kita perlu melihat perkembangan ini berbeza dengan kegawatan ekonomi kerana kegawatan ekonomi kesannya tidak mendadak. Kita lihat jumlah perniagaan berkurang tapi itu disebabkan sentimen pasaran dan keyakinan pengguna.

"Tapi dalam kes ini, kita terpaksa berhenti kerana sekatan perjalanan, sekatan aktiviti dan sebagainya. Jadi ini adalah situasi yang lebih serius,” katanya.