SINGAPURA - Singapura merekodkan dua kematian pertama akibat Covid-19 hari ini.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, dua pesakit yang meninggal dunia itu adalah seorang wanita warga Singapura berumur 75 tahun dan lelaki warga Indonesia berumur 64 tahun.
Menurut MOH, warga Singapura itu dimasukkan ke Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID) pada 23 Februari kerana radang paru-paru dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada hari yang sama.
Wanita itu yang mempunyai sejarah penyakit jantung kronik dan hipertensi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak dimasukkan ke NCID.
Pesakit mengalami komplikasi serius dan meninggal dunia pada jam 7.52 pagi tadi selepas 26 hari berada di ICU.
Sementara itu, lelaki warga Indonesia itu yang berada dalam keadaan kritikal dimasukkan ke ICU di NCID pada 13 Mac sejurus tiba di Singapura dari Indonesia pada hari yang sama dan disahkan dijangkiti virus itu pada 14 Mac.
MOH berkata, pesakit itu yang dirawat di ICU sejak 13 Mac mengalami komplikasi serius dan meninggal dunia akibat jangkitan itu pada jam 10.15 pagi tadi selepas sembilan hari dirawat di ICU.
Sejurus tiba di Singapura pada 13 Mac, lelaki itu telah dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru dan pesakit itu mempunyai sejarah penyakit jantung.
Kementerian itu dan NCID telah menghubungi anggota keluarga mereka dan memberikan bantuan kepada mereka.
Setakat semalam, terdapat sebanyak 385 kes positif Covid-19 di republik ini, 131 telah pulih manakala 16 berada dalam keadaan kritikal di ICU. - Bernama