LUMUT - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggota daripada KD Mahawangsa telah disyaki menghidap koronavirus (Covid-19).
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, anggota berkenaan disyaki selepas isteri beliau bergaul rapat dengan rakan sekerja disyaki menghidap Covid-19.
Iklan
Iklan
"Pada ketika ini seluruh keluarga anggota yang diklasifikasikan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) sedang menjalani kuarantin seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan," katanya.
Menurut kenyataan sama, TLDM juga mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau jangkitan Covid-19 diterima.
Katanya, tindakan yang sama telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Keselamatan diisytiharkan dan prosedur ini telah dilaksanakan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi Kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac yang lalu.
"Sehingga kini, tiada anggota TLDM yang disahkan positif Covid-19 ini. Masyarakat dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan hendaklah mematuhi peraturan dan perintah kawalan yang telah dikeluarkan kerajaan," katanya.
Setakat ini, TLDM tidak terjejas dengan penularan Covid-19 dan masih melaksanakan tugas serta tanggungjawab seperti biasa.