PONTIAN - Ratusan warganegara Indonesia menyerbu Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) di pekan Kukup di sini hari ini untuk pulang berikutan bimbang dengan ancaman wabak koronavirus (Covid-19).
Difahamkan seawal jam 9 pagi keadaan sudah mula sesak dan mereka sudah beratur panjang di kaunter TFAK untuk menaiki feri ke Tanjung Balai, Indonesia sebelum menuju ke destinasi masing-masing.
Mereka juga dipercayai mahu pulang ke tanah air kerana bimbang dengan langkah kerajaan Malaysia mahu menggunakan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan esok.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, meskipun berlaku kesesakan luar biasa di TFAK, penduduk setempat tidak perlu bimbang dengan perkembangan berkenaan.
"Pihak polis bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dan juga Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).
"Semua mereka yang pulang menjalani proses saringan terlebih dahulu dan sebelum menaiki feri. Pihak berkuasa Indonesia sekali lagi melakukan proses saringan bagi memastikan usaha membasmi penularan Covid-19 berkesan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, mengikut rekod Jabatan Imigresen, seramai 6,000 rakyat Indonesia telah masuk ke negara ini menerusi TFAK dan 1,600 orang sudah pulang ke negara mereka sejak 18 Mac lalu.
"Mereka yang balik itu bekerja di seluruh negeri ini dalam pelbagai sektor termasuk dari Muar dan Batu Pahat.
"Proses mereka balik berjalan lancar kerana semua pihak mengikut peraturan yang ditetapkan
"Kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat dalam masa terdekat," katanya.
Mustafa Bakri berkata, TFAK hanya membenarkan rakyat negara itu yang bekerja di negara ini untuk pulang.
Bagaimanapun katanya, untuk sementara waktu TFAK tidak menerima kedatangan rakyat republik itu yang mahu masuk ke negara ini termasuk rakyat Malaysia yang berhasrat ke Indonesia.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak polis, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan itu supaya tindakan bersesuaian dapat diambil.
Katanya, keadaan itu berisiko untuk virus berkenaan tersebar kerana terdapat ratusan orang bersesak-sesak di TFAK.
Beliau dalam masa sama mengingatkan penduduk setempat supaya sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan tidak keluar rumah kecuali urusan penting.