KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan rakyat Perlis untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tanpa sebarang alasan.
Baginda bertitah, rakyat perlu mengambil sikap bertanggungjawab dan ‘bermentaliti kelas pertama dalam tindakan’ dalam mematuhi arahan dan larangan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang bertujuan mengekang penularan Covid-19.
"Jangan bersifat degil dan ambil mudah kerana sikap ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat, negeri dan negara.
"Kita tidak mahu kegagalan tempoh dua minggu ini mengakibatkan tempoh ini dilanjutkan dan meningkatkan kes (Covid-19) malah lebih buruk lagi sekiranya arahan ‘Perintah Berkurung’ terpaksa diambil oleh pihak kerajaan kelak,” titah baginda dalam siaran media dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, dalam tempoh perintah itu yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac, rakyat masih boleh keluar bekerja bagi sektor berkepentingan dan yang dikecualikan, membeli makanan, barang keperluan, mendapatkan perubatan dan merentas negeri atas urusan yang tidak dapat dielakkan.
"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan yang terbaik dan berhemah dalam memastikan arahan dipatuhi dan usaha mereka sewajarnya dihargai semua rakyat memandangkan fokus utama pasukan PDRM adalah untuk memastikan ketenteraman dalam negara.
"Tambah dukacita adalah akibat kedegilan banyak di antara kita semua juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa diatur gerak sedangkan mereka sepatutnya bersiap siaga bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara daripada segala bentuk ancaman dalam dan juga luar,” titah baginda.
Baginda bertitah, sewajarnya seluruh rakyat memahami keperluan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini supaya keadaan negeri dan negara kita pulih dan bebas daripada penularan wabak Covid-19 secepat mungkin.
"Kita mempunyai pilihan untuk menghentikan penularan wabak ini dengan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda.- Bernama