PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mula mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai Covid-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, SKMM sebelum ini telah menjalankan tugas yang baik dalam menangani isu berita palsu lain, namun khusus untuk isu Covid-19 setakat ini sebanyak 42 siasatan telah dijalankan dan enam orang akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan.
"Jadi kita telah mula mengambil tindakan, pihak polis juga saya difahamkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pagi tadi telah menahan seorang yang menggunakan ayat yang tidak begitu ‘cantik’ (mengenai Covid-19), saya pun segan nak ulang perkataan itu.
"Saya juga dapat WhatsApp video orang solat beramai-ramai di atas bumbung rumah, namun menurut KPN kejadian itu di Bangladesh, ia tidak berlaku di tanah air kita jadi saya harap kita tidak sebarkan perkara yang kita tidak dapat kepastian,” katanya kepada pemberita di sini.
Oleh itu, Saifuddin berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyebarkan perkara-perkara yang belum sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Beliau menjelaskan bagi orang ramai mendapatkan maklumat berkenaan Covid-19, hotline yang paling utama buat masa ini adalah hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut di bantu SKMM.
"Sekarang hotline tersebut telah mempunyai 150 talian, dengan nombor telefon yang sama untuk pihak MKN mengendalikan panggilan daripada orang ramai,” katanya.
Pada masa yang sama, Saifuddin berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) juga menyediakan platform Sebenarnya.my untuk orang ramai merujuk sebarang berita dan maklumat palsu yang tersebar.
Selain itu, katanya, KKMM akan menyelaraskan maklumat antara agensi dan kementerian bagi memastikan maklumat rasmi kerajaan disiarkan pada masa yang tepat dan dengan cara yang sebaiknya serta mempunyai kesepaduan pada mesej yang disampaikan.
"Saluran penyiar rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) juga Jabatan Penerangan kalau kita lihat mesej mereka adalah hampir sama.
"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat penyiar televisyen dan radio swasta lain yang memberikan sambutan dan kerjasama yang baik dalam menangani isu Covid-19 ini.
"Semuanya menyampaikan mesej yang sama iaitu duduk di rumah, kerap basuh tangan dan mengutamakan jarak satu meter antara satu sama lain dengan variasi yang berbeza agar dapat difahami semua kelompok masyarakat,” katanya. - Bernama