BESUT - Sebanyak 15 ekor haiwan ternakan yang ditangkap Majlis Daerah Besut (MDB) akan dilelong kepada orang ramai jam 9 pagi esok.
Setiausaha Majlis Daerah Besut, Siti Mariam Abd Hamid berkata, kesemua kambing jantina yang disita itu sebelum ini ditangkap dalam operasi di Kampung Pengkalan Nyireh dan Limbongan di sini, 6 Januari lalu .
Menurutnya, kesemua kambing yang ditangkap dalam operasi tersebut tidak dituntut pemiliknya sehingga tempoh dibenarkan untuk berbuat demikian tamat.
"Lelongan dilaksanakan mengikut prosedur ketat terutamanya tidak ada tuntutan dibuat oleh pemilik dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh haiwan ditangkap,” katanya.
Siti Mariam berkata lagi, lelongan itu adalah kali kedua diadakan selepas lelongan pertama dilakukan pada 1 Januari lepas membabitkan lima ekor kambing dan empat ekor biri-biri di Depo MDB Gong Medang pada jam 9 pagi.
Menurutnya, lelongan terbaru ini juga akan dilakukan di lokasi sama bermula jam 9 pagi dan sebelum itu pembida boleh melihat terlebih dahulu haiwan tersebut.
Siti Mariam berkata, antara syarat ditetapkan iaitu kakitangan MDB juga tidak dibenarkan untuk membida haiwan tersebut untuk memastikan proses ini benar-benar telus.
"Harga bidaan paling minima yang ditawarkan bagi kesemua haiwan yang akan dilelong itu sebanyak RM3,000 manakala keputusan bidaan berdasarkan tawaran harga tertinggi,” katanya.