KUALA LUMPUR - Terima kasih yang mendoakan ayah selama ini, kata anak kepada salah seorang lelaki yang meninggal dunia akibat koronavirus (Covid-19) hari ini.
Mangsa berusia 57 tahun itu disahkan positif wabak Covid-19 telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Anak mangsa berkongsi berita duka itu di Twitter miliknya dengan kapsyen,"Dengan berat hati, ayah saya telah pun meninggal dunia. Doakan jenazah ayah dicucuri rahmat. Doktor kata ayah pergi dalam keadaan tenang sangat.
"Terima kasih yang mendoakan ayah selama ni. Hanya ALLAH saja yang dapat membalas jasa kalian.," ciapnya.
Tambahnya, seperti yang dimaklumkan, ahli keluarga tidak dibenarkan menguruskan jenazah kerana masih dikuarantin di hospital.
"Saya dan kakak tidak dibenarkan keluar hospital. Hanya doa di kejauhan. Adik akan berada di bahagian forensik hospital.
"Lega bila tahu ayah pergi dalam keadaan yang tenang sangat. Alhamdulillah Ya ALLAH.
"Rehatlah ayah. Tiada siapa yang boleh menggantikan ayah. Terima kasih sebab jadi ayah yang baik dan suami yang baik untuk umi. A hand i first time held, would be my last time to hold. Ayah in a better place now," katanya.