LONDON - Tamak dan pentingkan diri sendiri. Itu perkataan tepat bagi menggambarkan tingkah laku penduduk United Kingdom (UK) yang membuat pembelian panik akibat gelombang pandemik koronavirus (Covid-19) melanda Eropah ketika ini.
Sejak beberapa hari lalu, rakyat UK menyerbu pasar raya di seluruh negara kerana bimbang bekalan barangan keperluan harian dan makanan tidak mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan Boris Johnson bagi membendung penyebaran Covid-19.
Tindakan pentingkan diri sendiri dengan membeli barangan dalam kuantiti banyak menimbulkan kesulitan kepada orang lain terutamanya golongan warga emas.
Situasi itu mendorong peruncit makanan Britain iaitu Konsortium Runcit British (BRC) yang mewakili pasar raya termasuk Tesco, Sainbury's Asda dan Morrisons mengeluarkan gesaan agar orang ramai bertimbang rasa ketika membuat pembelian.
Bagaimanapun, umpama mencurah air ke daun keladi, pengguna tetap menyerbu pasar raya dan sanggup beratur seawal jam 6 pagi semata-mata mahu membuat pembelian panik.
Tinjauan di pasar raya Tesco di New Malden, London semalam menyaksikan orang ramai mula beratur seawal jam 5.50 pagi (waktu tempatan).
"Ini tidak masuk akal. Semua rak kosong, buah dan sayur-sayuran semuanya habis," kata jururawat, Dawn Bilbrough.
Sejak beberapa hari lalu, media sosial dipenuhi dengan gambar rak kosong di pasar raya utama Britain dengan barangan seperti pasta, tisu tandas dan makanan dalam tin antara yang habis dijual. - Agensi