Covid-19: Bukan masa untuk kritik MOM

Iklan
Mohamad Norza Zakaria

PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan sekarang bukan masa sesuai untuk mengeluarkan kritikan negatif terhadap badan sukan itu mengenai peranannya dalam penyertaan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata dengan ancaman wabak koronavirus (Covid-19) yang telah menjejaskan program latihan atlet dan jadual acara sukan di hampir seluruh dunia, lebih baik jika pihaknya diberi pandangan atau kritikan konstruktif.

Iklan
Iklan

Merujuk kepada kritikan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang mempersoalkan tindakan MOM menyatakan sokongan untuk meneruskan Sukan Olimpik, Mohamad Norza berkata ini bukan masa untuk mencari publisiti.

"Kita perlu faham bahawa fungsi MOM, yang mempunyai hak dalam pemilihan atlet ke temasya sukan. Keputusan penganjuran Olimpik adalah hak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan kita sebagai ahli gabungan IOC, menghormati keputusan mereka dan tidak patut masuk campur hak orang lain.

Iklan

"Sebab itu semua negara beri kepercayaan kepada IOC untuk meneruskan penganjuran. Sudah pasti keselamatan dan kesihatan atlet dan pegawai kita menjadi keutamaan MOM. Sekiranya keadaan tidak pulih dan membawa risiko kepada keselamatan atlet, kita tidak mungkin akan menyertai Olimpik.

"Tetapi, apa jua keputusan kita akan putuskan selepas perbincangan dengan pemegang berkepentingan iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Iklan

MOM sebelum ini bersetuju untuk meneruskan Sukan Olimpik seperti yang dijadualkan bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini ketika persidangan video bersama IOC dengan semua 45 Jawatankuasa Olimpik Nasional di Asia.

Mohamad Norza berkata Presiden IOC, Thomas Bach menyatakan bahawa pelan untuk menangguhkan atau membatalkan Sukan Olimpik tiada dalam perancangan mereka.

Mohamad Norza berkata, apa yang menjadi kerisauan MOM sebelum ini ialah hanya 12 atlet negara yang telah layak ke temasya terbesar dunia itu, tetapi IOC berkata, akan membuat perubahan dalam sistem kelayakan.

Beliau berkata, MOM menjangkakan di antara 30-32 atlet negara beraksi di pentas Olimpik nanti, dalam usaha merealisasikan misi memburu emas pertama negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM), Jasni Shafie, berkata semua pihak harus bekerjasama untuk menghadapi krisis Covid-19 dan elakkan perbalahan, kerana tiada siapa boleh mengandaikan atau meramal tepat bila ancaman virus itu akan berakhir.

"IOC semalam beri jaminan akan faktor keselamatan dan kesihatan semua pihak jika Tokyo 2020 diteruskan. Kami percaya ia bukanlah muktamad kerana apa pun bergantung kepada keadaaan semasa Covid-19.

"Kalau dalam tempoh sebulan lagi ia bertambah parah, tidak mungkin IOC akan meneruskan dengan keputusan mengadakan Olimpik.

"MOM sudah tentu akan membuat keputusan muktamad menjelang Sukan Olimpik dengan mengambil kira pandangan kerajaan melalui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,” katanya. -Bernama