TULISAN ini masih lagi dalam topik sastera dan kaitannya dengan pemerintah memandangkan pergulatan dalam ranah politik tidak kunjung selesai.
Seandainya dibiarkan sahaja orang politik bergelut untuk mencapai tali kuasa yang sudah terlucut daripada genggaman atau yang sedang berkeras
menggenggam tali kuasa agar tidak terlepas direbut pesaing, nescaya sastera terus menyorok di belukar kesipuan. Tiada sesiapa pun akan mempedulikannya.
Berbanding dengan bidang ekonomi, kejuruteraan, seni bina, perubatan, sains dan teknologi yang lebih konkrit dan pragmatik hasilnya, sastera hanya bersifat konseptual, subjektif, taksa, dan beroperasi secara alamiah ketika menyerap dalam pemikiran manusia yang menghadamnya.
Namun begitu, dalam sejarah peradaban manusia, secara tidak langsung atau secara halus dan alamiah, sastera atau persuratan berupaya membentuk budaya masyarakat tertentu apabila mereka menganut nilai sepunya yang disalurkan dalam karya tersebut.
Dengan hal yang demikian, sastera tetap mempunyai potensi untuk menjadi alat pembinaan sesebuah peradaban.
Dalam konteks Malaysia, sastera juga sewajarnya diberi peluang untuk berfungsi seiring dengan bidang-bidang lain dalam pembinaan peradabannya. Keupayaan sastera jika dioptimumkan dan direncanakan operasinya secara strategik, mampu menjadi tenaga penggerak yang ideologikal.
Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu.
Sesebuah karya sastera, biar apa pun bentuknya, sama ada sastera sejarah, sastera ketatanegaraan, sastera kitab, sastera profetik, atau sebarang bentuk sastera moden tidak hanya menyatakan kisah manusia secara neutral.
Karya tersebut membawa ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk tatapan khalayaknya. Dengan demikian, setiap
perkara dalam karya itu disisipi unsur kuasa untuk menundukkan masyarakat agar mereka mematuhinya secara rela.
Di sinilah berperanannya ideologi dalam konteks kuasa memerintah secara hegemoni, atau rule by consent. Karya sastera berdaya maju untuk menjadi alat bagi membudayakan masyarakat secara lebih halus.
Dalam sesebuah masyarakat atau negara, penjinakan masyarakat tidak mudah dilakukan dengan tenaga ketenteraan atau undangundang kerana setiap tindakan kekerasan akan mengakibatkan tindak balas daripada pihak yang ditimpa kekerasan itu.
Dalam sejarah telah banyak berlaku konflik antara rakyat dengan pemerintah apabila tindakan kekerasan digunakan untuk menjinakkan rakyat.
Tetapi dengan menggunakan ideologi sebagai alat untuk menyeragamkan pemikiran rakyat agar mereka menjadi jinak di bawah pemerintahan kerajaan, usaha itu lebih mudah dilakukan dan mencapai matlamatnya walaupun ada kekecualiannya.
Apabila ideologi yang diterapkan sudah berjaya menakluk jiwa masyarakat, golongan yang tertindas sekalipun akan berasa diadili biarpun hakikatnya ada
kezaliman dalam pemerintahan atau pemeringkatan kelas sosial. Mereka (rakyat mahupun pemerintah) sedia faham akan situasi serta menerimanya dengan rela hati.
Dengan potensinya yang sedemikian besar, sastera dapat dikelaskan sebagai kuasa kelima (the fifth estate) dalam struktur kuasa sesebuah masyarakat atau negara.
Pengelasan ini hanya suatu analogi yang dikiaskan daripada pengelasan tentang struktur kuasa selepas media massa dikelaskan sebagai the fourth estate.
Media massa berada di tempat keempat selepas kuasa perundangan, kehakiman, dan eksekutif (Kabinet).
Media massa menduduki hierarki kuasa keempat kerana dianggap mempunyai kuasa besar dalam mencorakkan sistem dan pelaksanaan kuasa di sesebuah negara.
Betapa besarnya kuasa media terbukti melalui keupayaannya menentukan jatuh bangunnya seseorang pemimpin serta berupaya mengubah mindscape masyarakat melalui pembingkaian berita yang penuh agenda.
Ini jelas terbukti apabila media, terutamanya media sosial, telah berjaya membentuk persepsi masyarakat sehingga kerajaan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14; dan kebalikannya, mereka kembali meraih kembali satu demi satu kerusi dalam pilihan raya kecil. Semuanya bergerak dalam lingkungan media.
Di bawah empat lapis pencorak masyarakat dan negara itu sastera muncul dengan keupayaannya yang tersendiri. Jadi, sastera secara kiasannya dapat digolongkan sebagai kuasa kelima (the fifth estates).
Jika dalam media massa penentuan agenda dan pembingkaian berita dapat mencorakkan mindscape khalayak, begitu jugalah sastera dengan kebijaksanaan atau hikmahnya.
Ini terbukti melalui perjalanan peradaban apabila banyak hasil persuratan menumbuhkan kepercayaan kudus dalam masyarakat walaupun disampaikan
secara tidak langsung. Teks Ramayana dan Mahabaratha dalam tamadun Hindu, Iliad dan Odyssey dalam tamadun Yunani, misalnya, begitu panjang usia pengaruhnya.
Demikian juga dalam peradaban Melayu, konsep daulat dan derhaka, pemetaan gender dalam status kuasa, peneguhan ideologi feudalisme dan sebagainya dihantar melalui Sejarah Melayu, Tajus Salatin, Tuhfat al-Nafis, dan Hikayat Hang Tuah.
Kolonialisme Eropah ke tiga benua−Asia, Afrika dan Amerika Latin−turut diperkukuh dengan kuasa kesusasteraan. Bagi imperialis, biarpun mereka bersandar pada senjata, penipuan dan penyakit, mereka masih menggunakan persuratan bagi meneguhkan kuasa (Lawson dan Tiffin,1994).
Ini juga dinyatakan oleh buku The Empires Writes Back (Ashcroft, Griffiths dan Tiffin, 1989) bahawa kesusasteraan berfungsi sebagai pusat kepada perdagangan budaya sesebuah empayar.
Dan kini, di bawah kerajaan baharu, wajarlah kita menyeru mereka agar memandang sastera sebagai alat penting dalam pembinaan negara bangsa.
Berikan tugas itu kepada menteri yang bertanggungjawab secara langsung, iaitu Menteri Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya para pemegang kuasa lain agar bersetuju untuk menghidupkan sastera, bukan membunuhnya dengan mitos ketidakpercayaan.
* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya