KUANTAN - Masih ada segelintir masyarakat di daerah ini gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pelaksanaannya sudah memasuki hari kelima.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan data yang diperolehi hasil rondaan dijalankan pihaknya mendapati kira-kira 15 peratus masyarakat masih menjalankan aktiviti luar tanpa menghiraukan arahan daripada kerajaan.
Menurutnya, hasil rondaan dijalankan masih ada masyarakat yang masih keluar melakukan senaman, beribadah dan terdapat juga remaja serta kanak-kanak bermain di taman-taman permainan.
"Kita mengambil tindakan dengan memberikan teguran seterusnya meminta mereka ini segera meninggal kawasan itu dan kembali ke rumah masing-masing.
"Pihak polis juga telah bekerjasama dengan Jabatan Penerangan untuk membuat hebahan bagi memastikan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan OP Covid-19 dalam operasi bergerak dan statik (sekatan Jalan Raya) di sekitar Kuantan, petang semalam.
Operasi itu turut disertai pegawai Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mohamad Noor berkata, antara lokasi rondaan pihaknya termasuk di sekitar Tanjung Lumpur dan Tanjung Api di sini dan mendapati didapati masih ada penduduk di kawasan itu gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan seperti diarahkan.
Jelasnya, ada sekelompok individu masih lagi bersantai di kawasan tersebut dan pihak polis telah memberikan nasihat serta amaran supaya mereka akan terus beredar.
"Pihak polis akan membuat rondaan secara lebih kerap di dua kawasan ini bagi memastikan penduduknya patuh pada arahan.
"Sekatan jalan raya juga akan diteruskan, kalau kita syak kenderaan tertentu kita akan menahan dan membuat pertanyaan sebelum memberi peringatan supaya mereka berada di kediaman masing-masing," katanya.
Beliau berkata, pihak polis bertegas dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini bagi memastikan penularan wabak ini dapat dibendung.
Selain itu, beliau juga meminta agar individu yang mengikuti kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu tampil dengan membuat ujian saringan.
Ditanya mengenai jumlah individu terlibat dalam perhimpunan itu dari daerah ini, Mohd Noor berkata, perkara terbabit masih dalam siasatan.
"Berapa ramai yang terlibat itu kita masih belum ketahui, tetapi kita minta mana-mana yang terlibat dalam himpunan itu tampil membuat ujian saringan," katanya.