PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup rokok putih pelbagai jenama dengan nilai dan cukai kira-kira RM6.47 juta, Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, sejumlah 97 juta batang rokok itu dirampas selepas melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Utara.
"Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan Pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Selangor membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran 12.19 meter di Lapangan Pemeriksaan Kontena Penguatkuasaan, Pelabuhan Utara, kira-kira jam 12. 45 tengah hari, Jumaat lalu.
"Sindiket dipercayai membawa masuk kontena bermuatan rokok putih tersebut dengan membuat ikrar palsu sebagai sarung tangan, aksesori telefon, set masakan dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu sidang media, di Wisma Kastam, di sini, petang tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Datuk Azimah Abd Hamid dan Ketua Pengarah Kastam Selangor, Abdul Wahabi Abdullah.
Menurut beliau, seorang ejen penghantaran warganegara tempatan berumur 35 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 1359(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 (Akta 235).
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(v)(aa) Akta Kastam 1967 memperuntukan hukuman denda sehingga 20 ganda nilai barang atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(c)(iv)(A) Akta Eksais 1967 (Akta 176).
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000 atau dipenjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga lelaki warga asing ditahan selepas terlibat dalam penyeludupan ‘chewing tobacco’ selepas pihaknya membuat serbuan ke atas sebuah premis berhampiran Nouvelle Industrial Park, Meru, Rabu minggu lalu.
"Hasil pemeriksaan menemui 7.5 tan chewing tobacco bernilai RM387,355 dan jumlah cukai sebanyak RM435,545 disembunyikan di premis tersebut.
"Kita turut merampas sebuah mesin dipercayai digunakan untuk membungkus ‘chewing tobacco’ terbabit sebelum dihantar ke pasaran tempatan.
"Seorang lelaki warganegara India dan tiga warganegara Pakistan berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun ditahan untuk sisatan lanjut,” katanya.
Subromaniam Tholasy berkata, ‘chewing tobacco’ itu dipercayai dijual kepada pekerja asing sekitar Lembah Klang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d)(iii) Akta Kastam 1967 (Akta Kastam 235) dan Seksyen 74(1)(a)(i)(A) Akta Eksais 1967 (Akta 176).