3 juta rakyat Malaysia ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Iklan
Ismail Sabri pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan mendedahkan kira-kira 10 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka tersebut bukan suatu jumlah yang kecil kerana ia melibatkan kira-kira 3 juta penduduk negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masih banyak kawasan yang seolah-olah tidak sedar atau sengaja tidak mengambil tahu kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan dengan berada di luar kediaman.

"Saya harap keadaan akan lebih terkawal dengan penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Iklan

"Penglibatan anggota tentera dalam membantu polis meliputi tugas dalam sekatan jalan raya, rondaan di bandar dan luar bandar, kawalan di hospital serta menjaga kawasan tumpuan seperti pasar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Iklan

Menurutnya, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga terlibat yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

"Anggota yang digerakkan ialah seramai 3,000 anggota. Pada mesyuarat hari ini, kita berbincang dan memang ada keperluan penambahan anggota Rela lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

"Keseluruhan yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini ialah 50,000 anggota melibatkan PDRM, ATM, APMM, Rela, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Katanya, PDRM turut mewujudkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) bersama ATM bagi memastikan gerakan kerja berkaitan pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.

"Pasukan ini juga turut akan disertai Rela dan APMM. Selain pelaksanaan di peringkat Persekutuan, kita turut dimaklumkan bahawa Majlis Keselamatan Negeri sudah digerakkan.

"Kita minta setiap daerah iaitu Pusat Pengurusan Bencana perlu digerakkan. Buat masa sekarang sudah ada pusat yang digerakkan ini melaksanakan tugas,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri bekata, dakwaan dan khabar angin di media sosial bahawa tentera akan mengambil alih tugas polis adalah tidak benar.

"Malah ada yang kata setiap sekatan jalan raya akan ada kereta kebal. Bunyinya agak lucu tetapi itulah yang berlegar di media sosial sekarang. Apa yang dilaksanakan ini ialah di bawah Kementerian Kesihatan.

"Seperti semua tahu, Perintah Kawalan Pergerakan ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan bukan Undang-Undang Darurat,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi meminta peserta tabligh yang menyertai program di Masjid Jamek Sri Petaling supaya tampil membuat saringan kerana bukan hanya melibatkan keselamatan diri tetapi keluarga mereka.

"Kematian disebabkan Covid-19 ini bukan hanya meragut nyawa peserta tetapi ahli keluarga. Selain itu, warga asing yang turut serta dalam majlis tersebut, kita juga mahu mereka tampil untuk memuat saringan

"Kita bukan mahu menahan mereka tetapi menjaga kesihatan mereka dan memberikan yang terbaik,” katanya.