Tabung CovidSinar mula agih bantuan

Iklan
Sukarelawan Tabung CovidSinar turut menyampaikan bantuan makanan kepada petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Shah Alam, Seksyen 19.

SHAH ALAM - Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) yang dilancarkan semalam mula disalurkan kepada petugas-petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Seksyen 19 dan Hospital Shah Alam hari ini.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, bantuan disalurkan itu berupa peralatan perlindungan diri kepada petugas kesihatan yang berkurangan setelah jumlah kes koronavirus (Covid-19) semakin meningkat setiap hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif yang digerakkan oleh Sinar Harian bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Panic Button Club, Crossfit Pahlawan, Anseri B9+B11 dan Pertubuhan Kebajikan Semai Budi (Permai Budi) berjaya mengumpul dana sebanyak RM25,000 hasil sumbangan orang awam dalam masa satu hari.

"Menerusi dana ini, kami telah membeli barangan keperluan yang diperlukan seperti Personal Protective Equipment (PPE), topeng muka, hand sanitizer, khemah dan juga kanvas.

Iklan

"Selain peralatan tersebut kami turut menyalurkan bantuan makanan dan beras kepada petugas kesihatan bagi meringankan beban mereka.

"Jadi kami berharap dengan bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu dan meningkatkan lagi motivasi petugas di barisan hadapan negara dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan
Sukarelawan Tabung CovidSinar mengagihkan beras kepada petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Shah Alam Seksyen 19.

Terdahulu, Sinar Harian melancarkan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 bagi membantu barisan hadapan Malaysia seperti doktor dan jururawat dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Tabung itu bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan bagi mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri atau PPE dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hantar pesanan ringkas WhatsApp ke talian 013-4228802.

Difahamkan jumlah sumbangan Tabung CovidSinar yang terkumpul sehingga jam 2.30 petang tadi sebanyak RM85,909.20.