BUKIT MERTAJAM - Polis menafikan kejadian seorang lelaki yang kononnya melarikan diri selepas menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini semalam.
Sebaliknya, lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan keluar sebentar bagi menunaikan solat dan berlaku salah faham sehingga menimbulkan keadaan panik.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan mengenai kejadian itu daripada doktor yang bertugas di wad kecemasan di HSJ yang memaklumkan terdapat seorang lelaki yang juga jemaah tabligh melarikan diri dari bilik isolasi dalam kejadian jam 8.20 malam semalam.
Menurutnya, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai doktor di sebuah klinik swasta telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini hadir di wad kecemasan hospital tersebut pada jam 7 malam untuk ujian saringan Covid-19.
"Lelaki berkenaan telah memaklumkan kepada doktor lain di situ untuk pergi menunaikan solat bagaimanapun seorang doktor lain menyangka lelaki itu melarikan diri dari bilik isolasi dan terus membuat laporan polis.
"Apa yang berlaku cuma salah faham dan lelaki berkenaan dapat dikesan dan telah selesai menjalani ujian saringan berkenaan di hospital terbabit," katanya di sini hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial laporan polis berhubung seorang lelaki yang melarikan diri dari bilik isolasi HSJ dan orang ramai diminta berhati-hati kerana dia disyaki Covid-19.