Generasi muda diharap cetus revolusi produk tani dalam talian

Iklan
Sahruddin (empat, kanan) ketika Majlis Pelancaraan Myagrosis NBME Peringkat Johor di PMJB.

JOHOR BAHRU – Generasi muda disaran terlibat dalam bidang pertanian dan industri asas tani sejak dari awal demi memastikan pengeluaran makanan dalam negara berterusan dan dapat menampung keperluan rakyat di masa hadapan.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama jabatan atau agensi di bawahnya sentiasa menyediakan platform untuk generasi muda mendalami ilmu di dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

Iklan
Iklan

"Platform yang diwujudkan MOA dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melalui portaI Agrobazaar Online (ABO) adalah platform untuk generasi muda melibatkan diri di dalam bidang pemasaran produk pertanian dan industri asas tani secara online seiring peredaran zaman.

"Mengikut data ABO nasional sejak 2016 hingga tahun lalu, sebanyak 11,635 produk melibatkan 4,815 usahawan menyertai portal dalam talian itu membabitkan rekod nilai jualan RM4.3 juta,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaraan Myagrosis New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Peringkat Johor yang turut dihadiri Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak dan Pengarah PMJB, Azrin Abdul Aziz@Nong di Politeknik Metro Johor Bahru (PMJB), di sini, hari ini.

Menurutnya, penglibatan generasi muda ke dalam bidang ini diharapkan menjadi pencetus revolusi di dalam ekonomi Malaysia terutamanya di dalam bidang pemasaran pertanian dan industri asas tani.

Iklan

"Kita mengharapkan melalui program ini, usahawan dalam kalangan graduan dapat diwujudkan dan fenomena job creator (pencipta kerja) juga dapat diwujudkan, bukannya job seeker (pencari kerja).

"Justeru, saya ingin menyarankan supaya pelajar menyertai Kelab MyAgrosis dan program NBME, menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam bidang pemasaran pertanian dan industri asas tani dan menjadikan bidang ini sebagai kerjaya di masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Kelab MyAgrosis yang ditubuhkan sejak 2011 yang turut melibatkan penyertaan di kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara kini memiliki kira-kira 40,000 ahli.

"Kira-kira 10 peratus daripada jumlah keahlian itu bergelar usahawan pertanian dan diharap jumlah tersebut akan meningkat pada masa akan datang,” katanya.