SHAH ALAM - Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang mengabaikan kebajikan pekerja dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha mengekang penularan wabak koronavirus Covid-19.
Menteri Sumber Manusia, Datuk M Saravanan mengakui walaupun langkah itu akan memberi impak yang besar kepada warga pekerja dan perniagaan tempatan, namun ia menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mematuhi arahan.
Menurutnya, masih terdapat laporan mengenai kilang yang beroperasi dan pekerja dipaksa mengambil cuti tahunan serta cuti tanpa gaji dalam tempoh dua minggu perlaksanaan.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini sudah tentu akan menggagalkan usaha kerajaan dalam menangani dan memecahkan rantaian Covid-19.
"Usaha kerajaan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk majikan dan pekerja dalam menghasilkan penyelesaian yang positif,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, masyarakat harus sedar bahawa kerajaan tiada pilihan lain kerana wabak Covid-19 tidak memberi peluang kepada kita untuk mencuba ataupun menguji sesuatu inisiatif selain masa juga tidak berpihak kepada kita dalam soal ini.
"Jadi pilihan kita adalah terhad, sama ada kita berjaya membendung wabak ini dalam masa dua minggu ini, ataupun bersiap siaga untuk menghadapi gelombang ketiga berkemungkinan akan lebih mencabar dan juga akan memudaratkan lagi keadaan sedia ada.
"Justeru kerjasama pekerja dan majikan untuk bersama-sama dengan kerajaan pasti akan menghasilkan penyelesaian yang positif dalam menangani wabak Covid-19 ini,” katanya.