Op Covid-19: Anggota polis nyaris dilanggar kereta

Iklan

BAYAN BARU - Seorang anggota polis nyaris dilanggar sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki ketika bertugas membuat sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Sultan Azlan Shah di sini tengah malam semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah malam itu, dua lelaki tersebut cuba melarikan diri ketika anggota polis bertugas menjalankan pemeriksaan ke atas mereka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kedua-dua lelaki tersebut yang menaiki sebuah Proton Wira Aeroback pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan, namun ketika anggota polis meminta lesen memandu dan kad pengenalan, pemandu kereta tersebut telah memecut keretanya dipercayai ingin melarikan diri.

"Anggota polis yang menahan kereta tersebut sempat mengelak namun lampu baton yang dipegangnya terkena kereta itu lalu jatuh dan pecah. Kedua-duanya berjaya melarikan diri namun berjaya ditahan petang tadi.

Iklan

"Pemandu kereta ditahan di Jalan Sungai Air Putih, Balik Pulau pada jam 2.56 petang manakala rakannya ditahan di Jalan Muntri pada jam 4.53 petang. Kita merampas sebuah kereta Proton Wira Aeroback dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek yang berusia 36 tahun itu positif syabu.

Iklan

"Pemandu kereta mempunyai lapan rekod jenayah dan dua rekod dadah manakala rakannya mempunyai tiga rekod jenayah dan lapan rekod dadah.

"Mereka akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya.