Dua kakitangan Maybank sah Covid-19

Iklan

KUALA LUMPUR - Maybank hari ini mengesahkan dua kakitangannya masing-masing dari cawangan Auto Finance Sibu Central (AFSC) di Sarawak dan Dataran Maybank, Bangsar sedang mendapat rawatan berkaitan virus koronavirus (Covid-19).

Pekerja dari cawangan AFSC itu telah dikuarantin di rumah sejak 14 Mac lepas apabila ada anggota keluarganya disahkan positif. Ujian selanjutnya mendapati kakitangan terbabit positif Covid-19, kata bank itu dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Kakitangan dari Dataran Maybank itu pula mengadu tidak sihat pada 18 Mac berikutan terdedah kepada anggota keluarga yang positif Covid-19. Beliau diuji positif pada 20 Mac dan turut dikuarantin di rumah.

"Sebagai mematuhi prosedur standard Maybank, pengesanan segera telah dibuat bagi memaklumkan mereka yang pernah berhubung dengan kedua-dua pekerja, mereka turut menjalani pemeriksaan dan dikuarantin di rumah," katanya

Iklan

Maybank Sibu Central (yang terletak di atas AFSC) dan AFSC akan ditutup sehingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pembersihan. Pelanggan boleh melakukan transaksi mereka di cawangan Sibu yang terletak kira-kira 800 meter jauhnya atau lain-lain cawangan, atau menggunakan platform perbankan dalam talian/elekronik.

Bank tersebut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ia mematuhi garis panduan kesihatan yang diperlukan dan telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya untuk memastikan perkhidmatan penting perbankan tidak terganggu.

Iklan

Menurut bank itu, sejak Januari 2020, ia telah mengambil tindakan pencegahan dan kebersihan ke atas operasi perbankan fizikalnya bagi mengurangkan sebarang risiko kesihatan yang timbul daripada penyebaran Covid-19, kakitangan turut disediakan peralatan perlindungan diri.

Pembersih tangan disediakan bagi kegunaan kakitangan dan pemeriksaan suhu harian juga dibuat dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan kesihatan kakitangan. - Bernama