Pencarum KWSP dibenar keluarkan wang simpanan Akaun 2

Iklan
KWSP

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan wang simpanan di Akaun 2 melalui pengeluaran i-Lestari bagi menampung keperluan keluarga berikutan wabak koronavirus (Covid-19) melanda negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan boleh dibuat bermula 1 April depan.

Iklan
Iklan

"Ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan," katanya.

Menurutnya, kemudahan tersebut melibatkan jumlah RM40 bilion.

Iklan

"Kerajaan menjangkakan 12 juta ahli KWSP akan memanfaatkannya dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 bilion," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi di sini hari ini.

Beliau berkata, dengan pengumuman inisiatif tersebut, ia akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket untuk membeli barang-barang keperluan harian.

Iklan

"Nasihat saya kepada anda semua yang akan menerima manfaat ini, gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang- barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga selain sebahagiannya mungkin digunakan untuk membayar bil," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun jumlahnya tak seberapa, wang hasil titik peluh yang sepatutnya digunakan hari tua telah dibenarkan pengeluarannya pada masa ini.

"Insya-ALLAH, jika wang ini digunakan secara berhemah akan ada keberkatannya untuk saudara dan saudari seisi keluarga," katanya.

Pengumuman tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam masa terdekat.