'Tak kisah beratur panjang, janji selamat'

Iklan
Pengunjung Pasar Awam Batu Gajah mematuhi perintah kawalan mengamalkan jarak selamat dan menunggu giliran masuk.

BATU GAJAH - Tidak mengapa beratur panjang, janji selamat. Itu antara reaksi pengunjung Pasar Awam Batu Gajah di sini apabila dikenakan tindakan kawalan termasuk beratur dalam jarak selamat oleh Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pasar berkenaan menerima kehadiran pengunjung lebih 900 orang semalam menyebabkan barisan beratur panjang sehingga melebihi jarak 1 kilometer.

Iklan
Iklan

Video dan gambar orang ramai beratur hingga ke kawasan kuar pasar itu tular di media sosial.

Seorang pengunjung, Azam Ahmad Tahwil, 48, berkata, keadaan itu langsung tidak membebankan mereka yang rata-rata datang setiap hari ke pasar berkenaan.

Iklan
Azam Ahmad Tahwil

Menurutnya, ia bukan sahaja dapat mengelak penularan wabak, malah memberi jaminan keselamatan kepada orang ramai.

"Ini satu usaha yang bagus dan kalau boleh diteruskan sampai kes Covid-19 ini betul-betul selesai.

Iklan

"Saya masuk ke pasar tadi pun rasa selesa dan selamat, tidak perlu bersesak seperti kebiasaannya," katanya.

Seorang lagi pengunjung, M Raja, 55, berkata, langkah itu satu usaha bijak terutama dalam keadaan penularan kes yang semakin tinggi.

"Bagi saya ok sahaja, rakan-rakan lain pun sama, tiada yang merungut kerana kita faham ini demi keselamatan semua pihak," katanya.

Mohamad Razif ketika meninjau keadaan Pasar Awam Batu Gajah.

Yang Dipertua MDBG, Mohamad Razif Ramli ketika ditemui berkata, ketetapan urusan jual beli di pasar awam itu diperketat kerana menjadi tempat tumpuan ramai termasuk penduduk di sekitar Simpang Pulai, Gopeng dan Pengkalan.

Justeru pihaknya perlu memastikan had minimum keberadaan pembeli di dalam pasar kepada 30 orang pada satu-satu masa dengan tempoh masa membeli 15 minit.

"Walaupun terpaksa beratur panjang menunggu giliran, mereka tetap memberi kerjasama yang baik dan mematuhi arahan dikeluarkan anggota yang bertugas.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, MDBG turut melakukan aktiviti disinfeksi di empat pasar awam seliaan kita secara berperingkat bermula hari ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menempatkan 10 anggota membantu MDBG megadakan kawalan pematuhan di pasar awam berkenaan.

"Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, pengunjung didapati mengambil langkah-langkah pencegahan memakai topeng muka dan mengamalkan jarak selamat sebagaimana disarankan kementerian," katanya.

Pengunjung Pasar Awam Batu Gajah tetap mematuhi perintah kawalan mengamalkan jarak selamat dan menunggu giliran masuk.