Covid-19: Kedai serbaneka stesen minyak tutup 7 petang hingga 7 pagi

Iklan
Kakitangan MPK menampal notis arahan dan peringatan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di sebuah stesen minyak di sini. - Foto Ihsan MPK

KUANTAN- Semua kedai serbaneka di stesen minyak di daerah ini diarah tutup jam 7 petang hingga 7 pagi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan koronavirus (Covid-19) yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac ini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, kerajaan negeri mengarahkan premis itu di daerah Kuantan, Temerloh, Bentong, Pekan, Jerantut dan Cameron Highlands ditutup bermula jam 10 malam hingga enam pagi.

Manakala premis lain yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh itu diarah tutup jam 7 petang hingga 7 pagi.

Iklan

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan orang ramai tidak berhimpun di kedai serbaneka stesen minyak setelah premis lain ditutup selepas jam 7 petang.

Menurutnya, bagaimanapun perkhidmatan pengisian minyak dibenarkan beroperasi mengikut masa yang diluluskan syarat lesen.

Iklan

"Walaupun arahan ini menimbul rungutan daripada segelintir pengusaha, namun langkah itu antara usaha MPK dalam mencegah penularan virus bahaya yang kini mencatatkan 1,306 mangsa dijangkiti dengan 11 kematian direkodkan di seluruh negara,"katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Noramawati berkata, Yang Dipertua MPK, Datuk Hamdan Hussin sendiri telah turun padang meninjau situasi di stesen minyak di sekitar bandar Kuantan sebelum keputusan itu diambil demi kepentingan bersama.

"Pada masa sama, stesen minyak di daerah Kuantan juga diarah mengambil langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

"Antara langkah disarankan termasuk memastikan setiap kawasan stesen disanitasi lebih kerap dengan penyemburan sanitizer termasuk pada nozel pam, kaunter, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan tandas," katanya.

Beliau berkata, atendan pam dan petugas kaunter juga mesti menggunakan sarung tangan dan memakai topeng muka.

Info

Waktu operasi premis perniagaan di Kuantan

- Kedai runcit dan kedai serbaneka (7 pagi hingga -7 petang)

- Waktu Operasi ATM (7 pagi hingga -7 petang)

- Pusat servis kenderaan, bengkel kereta dan kedai tayar (10 pagi hingga 3 petang)

- Pasar raya (7 pagi hingga -7 petang) (Beratur dengan jarak satu meter dan saring suhu badan).

- Premis makanan, penjaja statik dan peniaga buah (7 pagi hingga -7 petang) (beli dan bawa pulang sahaja)