KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencadangkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri dengan tumpuan, usaha dan peruntukan kewangan diberikan sewajarnya bagi meningkatkan keupayaan sektor itu.
Baginda menyeru kerajaan negeri memberi perhatian serius dalam usaha membangunkan pertanian kerana ramai rakyat Terengganu khususnya golongan B40 berada di dalam sektor ini dan mereka adalah golongan yang berpendapatan rendah.
"Oleh itu, adalah sangat wajar sektor ini diberi ruang yang lebih besar untuk berkembang. Ini adalah kerana sektor pertanian menjanjikan pulangan ekonomi yang tinggi jika dilaksanakan dengan kaedah yang tepat. Kemudahan infrastruktur pertanian, pengukuhan rantaian nilai antara sektor, aspek pemasaran dan sebagainya perlu diberi perhatian serius. Pemulihan tanah-tanah terbiar perlu diambil tindakan segera.
"Sektor pertanian perlu ditransformasikan segera supaya sektor ini tidak dilihat sebagai sektor tradisi, yang menjadi petunjuk kepada isu-isu kemiskinan, taraf hidup yang rendah dan sebagainya,” titah baginda pada Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini.
Buku titah baginda tidak dibaca sebaliknya diedarkan kepada 30 ahli dewan yang hadir pada persidangan diadakan setengah jam secara tertutup tanpa kehadiran ketua jabatan, pemerhati mahupun media ekoran Perintah Kawalan Pergerakan susulan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).
Sultan Mizan bertitah, dalam merealisasikan hasrat itu, beberapa perkara penting perlu diberikan penekanan oleh kerajaan negeri antaranya membuat kajian bagi mengenalpasti punca kelemahan dalam pembangunan sektor ini dan peranan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) perlu digerakkan dalam membangunkan usahawan tani serta menyediakan perkhidmatan pertanian.
"Beta dimaklumkan, peruntukan sektor ini pada tahun 2020 telah ditambah lebih 155 peratus, berbanding tahun 2019 iaitu pertambahan dari RM 2.6 juta kepada RM 6.65 juta.
"Namun demikian, angka-angka ini perlu dilihat semula berdasarkan kepada permasalahan dan jumlah rakyat yang berada dalam sektor ini,” titah baginda.
Sultan Mizan turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Terengganu kerana melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019 hingga 2023 pada tahun lepas manakala sektor pertanian merupakan salah satu teras dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030.
Baginda berpuas hati dengan visi pelan strategik tersebut untuk menjadikan Terengganu sebagai pengeluar makanan utama negara, dengan terlebih dahulu mencapai tahap kemampuan diri.
"Tumpuan kepada pengeluaran makanan bagi mencapai matlamat jaminan kualiti makanan, adalah bertepatan dan selaras dengan usaha di peringkat nasional,” titah baginda.