KUANTAN – Seorang bakal pengantin dari Bentong, mencari bapanya bagi memudahkan urusan perkahwinan yang dijadualkan Februari depan.
Nur Farah Alia Mohd Sadini, 21, berkata, bapanya, Mohd Sadini Ahmed @ Mohammad, 39, dengan nombor kad pengenalan 800421-03-5291, dikesan beralamat terakhir di Kampung Pauh Panji, Kota Baharu Kelantan.
Menurutnya, beliau dan pasangan, Mohammad Goffar Muhammad Riaz, 19, ada berkunjung ke Kelantan dan bertemu dengan penghulu kampung tersebut, namun dimaklumkan bapanya sudah lama tidak pulang ke rumah mereka yang kini telah diduduki orang lain.
"Tarikh dan masa sebutan semula di mahkamah nanti adalah pada 13 Februari, dan selepas pada itu kami merancang untuk terus melangsungkan pernikahan tanpa perlu bertunang.
"Justeru saya berharap dapat bertemu ayah saya secepat mungkin. Semua anak mahu ibu dan bapa hadir di hari bahagia. Begitu juga saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nur Farah berkata, beliau diserahkan kepada nenek Wan Halijah Wan Ahmed sejak dari kecil dan tinggal bersama neneknya, sehingga sekolah menengah.
Beliau yang mempunyai seorang lagi adik kandung berkata, setelah kematian nenek, beliau tinggal bersendirian dengan merantau ke Pahang.
Ibunya, Zunira Omar, 44, juga memaklumkan tidak mengetahui mengenai lokasi tempat tinggal bapanya yang sudah terputus hubungan sejak beliau masih kecil.
Justeru, pasangan bakal pengantin ini berharap orang ramai yang mengenali Mohd Sadini untuk menghubungi mereka secepat mungkin di talian, 014-2988865 bagi memudahkan urusan perkahwinan.