KUALA LUMPUR - Sebanyak 88 masjid dan 109 Surau Diri Jumaat di Wilayah Persekutuan bersedia membantu kariah yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, misi #MUSAADAHCOVID19, bertujuan memfokuskan asnaf dari Wilayah Persekutuan termasuk negeri yang dikenalpasti.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, kebajikan umat Islam di Wilayah Persekutuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan sentiasa menjadi keutamaan saya. Beberapa usaha telah dilaksanakan melalui misi ini.
"Di samping itu, kebajikan petugas barisan hadapan tanpa mengira agama dan bangsa serta keperluan hospital di Wilayah Persekutuan juga menjadi perhatian.
"Bagi menyebar luas misi ini supaya dapat diraikan secara saksama, saya mengarahkan Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin memanfaatkan tabung masjid bagi membantu anak kariah yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diminta menyelaraskan misi ini di semua masjid dan Surau Diri Jumaat dalam Wilayah Persekutuan.
"Saya amat meraikan sekiranya hal ini disambut dengan baik oleh semua pihak yang terlibat. Bagi pelaksanaan perkara ini di peringkat negeri, ia diserahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri,” katanya.