TIDAK peka dalam kalangan masyarakat setempat untuk membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) antara punca kegagalan membendung gejala pelajar merokok di luar kawasan sekolah.
Yang Dipertua PIBG SMK Seksyen 16 Shah Alam, Datuk Ismail Badiuzzaman berkata, salah laku pelajar merokok cuma berjaya dibendung jika perbuatan itu berlaku dalam kawasan sekolah dengan adanya pengawasan daripada guru disiplin.
"Bagaimanapun pantauan ke atas gejala seperti itu (merokok) jika dilakukan pelajar selepas waktu sekolah dan di luar sekolah pula, sudah tidak dapat dilakukan oleh para guru mahupun pihak PIBG kerana buat masa ini, guru tidak mempunyai kuasa untuk menangkap pelajar melakukan kesalahan di luar pagar sekolah.
"Jadi, kerjasama masyarakat diperlukan untuk membantu menangani gejala pelajar merokok di luar kawasan sekolah yang mana masyarakat setempat mesti prihatin, memberi teguran serta menyalurkan maklumat berhubung gejala berkenaan," katanya.
Ia berhubung hasil tinjauan Wartawan Sinar Siasat mendapati pelajar sekolah ditemukan selamba merokok selepas tamat waktu persekolahan di satu lokasi di Selangor.
Menurutnya, masyarakat setempat itu termasuklah Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan persatuanpenduduk supaya menjadi 'mata dan telinga' membantu ibu bapa memberi teguran kepada pelajar terlibat aktiviti tidak sihat itu.
"Para guru dan PIBG tidak boleh menangani gejala ini secara bersendirian. Tanpa peranan masyarakat, gejala ini (pelajar merokok) tak boleh dibanteras dengan mudah biarpun para guru dan PIBG telah berusaha keras mencegahnya dalam kawasan sekolah.
"Kerjasama dan bantuan orang awam sangat diperlukan untuk menyelesaikan masalah ini yang nampaknya tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama memandangkan pelajar terlibat merokok di luar kawasan sekolah.
"Isu ini masih gagal diselesaikan kerana kurang kerjasama masyarakat," katanya.