Covid-19: MB Kedah sumbang makanan kepada petugas

Iklan
Anggota polis dan tentera yang bertugas menikmati sumbangan makanan yang diagihkan oleh pejabat Menteri Besar Kedah.

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir prihatin dengan pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan koronavirus (Covid-19) dengan menaja makanan kepada petugas terlibat.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kedah, Asisten Komisioner Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima sumbangan makanan itu untuk diagihkan kepada pegawai dan anggota yang menjalankan tugas di lapangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 3,120 bungkusan makanan dihantar setiap hari kepada semua pegawai dan anggota polis, tentera, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat dengan Ops Covid-19 di negeri ini.

"Kami hargai sumbangan diberikan, ia antara usaha menghargai pengorbanan dan penat lelah pihak berkuasa yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Iklan

Ab Rahaman berkata, inisiatif menaja makanan tengah hari dan makan malam itu banyak membantu anggota yang sentiasa siap siaga memantau lokasi di seluruh negeri ini.

"Kami berterima kasih atas keprihatinan Menteri Besar yang menghargai tugas pegawai dan anggota bertugas. Makanan itu diedarkan kepada semua yang terlibat dengan Ops Covid-19 di seluruh daerah hingga tempoh berakhir 31 Mac depan," katanya.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Besar turut membekalkan sebanyak 350 pek makanan tengah hari kepada petugas gempur Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Klinik Kesihatan Sungai Petani selama 10 hari.