KOTA KINABALU- Kerajaan Sabah memutuskan untuk menyekat semua perjalanan di sempadan Malaysia dan Indonesia sebagai usaha menangani penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata, sekatan itu melibatkan perjalanan dari Pulau Sebatik-Tawau-Pulau Sebatik; Serudong-Simanggaris-Serudong; dan Bantul Labang-Pagalungan-Bantul Labang.
Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre yang diadakan pada hari ini, katanya dalam kenyataan di sini.
"Bagaimanapun, (perjalanan) menggunakan jeti-jeti yang dibenarkan untuk beroperasi oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah serta Majlis Perbandaran Tawau bagi maksud penghantaran barangan keperluan harian adalah dikecualikan (daripada sekatan perjalanan) dan jumlah bot serta kru yang minimum,” katanya.
Safar berkata, mana-mana pelajar atau orang awam yang balik dari luar negara atau negeri ke Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, sama ada telah melalui saringan kesihatan Covid-19 atau tidak di lapangan terbang seluruh negara, akan dikenakan kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin disediakan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mewartakan tiga lagi lokasi baharu sebagai Pusat Kuarantin Sementara COVID-19 masing-masing di Masjid Jamek, Kota Belud; Plasma MPOB, Lahad Datu; dan Felda Resident Sahabat, Lahad Datu bagi menampung keperluan selain mengelak kesesakan di pusat kuarantin sedia ada.
Pusat kuarantin yang dibuka sebelum ini ialah Rumah Rehat Ranau; Rumah Rehat Kinabatangan; Lembaga Minyak Sawit Malaysia di Lahad Datu; Projek Perumahan Rakyat Batu Putih di Sandakan; dan Kompleks Belia Tawau.
Selain itu, Safar berkata Sabah turut mengehadkan penerbangan domestik ke destinasi seperti Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu; Kota Kinabalu-Sandakan-Kota Kinabalu; Kota Kinabalu-Lahad Datu-Kota Kinabalu; dan Kota Kinabalu-Sandakan-Tawau-Kota Kinabalu.
Katanya, semua penumpang diwajibkan menjalani saringan kesihatan Covid-19 yang dijalankan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan di lapangan terbang berkenaan.
Sementara itu, katanya, kerajaan Sabah turut mengarahkan mana-mana premis yang menawarkan perkhidmatan layan diri kepada orang awam supaya membersihkan kemudahan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM), butang lif dan nozzle pam minyak secara berterusan berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata arahan berkenaan bertujuan memastikan penularan jangkitan Covid-19 dapat dibendung sepenuhnya.
"Pemilik perniagaan yang menawarkan perkhidmatan layan diri seperti bank, hotel, stesen minyak dan sebagainya adalah bertanggungjawab untuk memastikan pengguna atau pelanggan masing-masing dilindungi daripada penularan wabak Covid-19,” katanya. - Bernama