SHAH ALAM – Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) bersedia diberi tanggungjawab menyelaraskan pengedaran topeng muka sebanyak 10 juta secara percuma kepada rakyat dalam memastikan hasrat kerajaan terlaksana.
Presidennya, Amrahi Buang berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengumumkan perkara itu apabila akan diedarkan secara percuma kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau berkata, niat baik Perdana Menteri ini akan sia-sia jika agihannya tidak diberikan secara teratur dan kepada kelompok yang lebih memerlukannya.
"Bagi melicinkan agihan topeng muka ini, farmasi komuniti terutamanya di kawasan zon merah boleh membantu dan menerangkan kepada orang ramai cara penggunaan sebenar topeng muka ini.
"Kita boleh ikut kaedah di Taiwan di mana farmasi komuniti menjadi tempat agihan kerana orang ramai dan mereka yang sakit datang bagi mendapatkan ubat dan nasihat.
"Farmasi komuniti juga berada di mana-mana, jadi bagi saya farmasi adalah yang terbaik bagi membantu mengedarkan topeng muka ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Amrahi berkata, ini sumbangan kecil dan khidmat farmasi kepada negara dalam tempoh sukar ini
"Jika ada pesakit yang bergejala koronavirus (Covid-19) datang ke farmasi, pihak farmasi juga boleh melaporkannya kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) untuk tindakan seterusnya," katanya.
Hari ini, Muhyiddin dalam sidang media berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama-sama dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi untuk berbincang dengan pengeluar.
Perdana Menteri berkata, harga kawalan perlu diteliti supaya tidak terlalu tinggi, apatah lagi negara berada dalam keadaan agak krisis seperti ini.
Selain itu, Muhyiddin berkata, pengeluar tempatan diharapkan dapat terus menghasilkan topeng muka secara mencukupi walaupun mereka mempunyai sedikit masalah mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara luar.