SHAH ALAM - Kutipan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) kini sudah mencecah RM235,396.14 setakat jam 4.30 petang tadi sejak mula dilancarkan pada Sabtu lalu.
Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, pihaknya kini memberi fokus memenuhi keperluan utama peralatan perlindungan diri petugas kesihatan bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Menurutnya, antara peralatan yang menjadi keutamaan ketika ini ialah Personal Protective Equipment (PPE), ‘infrared thermometer’, topeng muka, hand sanitizer, sarung tangan, apron pakai buang, ‘boot cover’ dan khemah.
"Ini antara keperluan yang kita lihat perlu diberi perhatian dan jumlahnya mungkin meningkat dua kali ganda atau lebih berdasarkan kes saringan Covid-19 seperti di daerah Petaling Jaya yang kini mencatatkan kes tertinggi dengan 96 kes.
"Saya juga difahamkan setiap klinik kesihatan khususnya yang mengendalikan kes saringan Covid-19, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lebih 100 PPE dan menggunakan lebih 20 liter hand sanitizer setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan bantuan hand sanitizer dan beberapa keperluan lain termasuk khemah di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam di sini.
Mengulas lanjut, Auzani turut memaklumkan bahawa peralatan yang diperlukan itu juga perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan bagi mengelakkan bahaya kepada petugas kesihatan.
"Sebagai contoh topeng muka perlu mempunyai tiga atau empat lapisan, begitu juga dengan ‘hand sanitizer’ yang mempunyai kandungan alkohol melebihi 70 peratus.
"Jadi kami harap pihak pengeluar barangan keperluan ini turut sama memainkan peranan mereka dan tidak mengambil kesempatan di atas pandemik yang berlaku ketika ini.
"Kami juga amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang turut sama membantu barisan hadapan petugas kesihatan menerusi sumbangan mereka,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tabung CovidSinar mula agih bantuan
Sinar Harian mengaktifkan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama membantu barisan hadapan mengumpul dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.
Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 013-4228802 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).