KETIKA Malaysia di landa krisis susulan koronavirus (Covid-19), bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menitipkan kata-kata penghargaan di atas pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung penularan wabak itu.
Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya, Chong Wei berkata, ramai rakannya yang berkhidmat di bidang perubatan sedang mengalami tekanan dalam ‘perang’ membendung penularan jangkitan Covid-19 buat masa ini, demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.
Bekas pemain nombor satu dunia itu memulakan catatan dengan berkongsi detik bertanyakan cita-cita anaknya, Kingston Lee, dan jawapan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu adalah untuk menjadi seorang doktor kerana mahu menyelamatkan banyak nyawa.
Kata-kata anak sulungnya membuat Chong Wei tersenyum kerana beliau sendiri pernah bercita-cita untuk menjadi doktor, namun pemenang pingat Perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu akur, bahawa beliau lebih berbakat untuk memegang raket badminton berbanding stetoskop.
"Bagaimanapun, ramai rakan-rakan saya adalah doktor, jururawat, dan pembantu perubatan. Salah seorang rakan baik saya adalah pakar radiologi di Pulau Pinang. Semasa saya minta dia supaya menjaga diri, dia beritahu yang dia hanya mahu menang dalam"perang” terhadap penyakit ini di Malaysia, untuk keluarganya, untuk anak perempuannya.
"Seorang lagi rakan saya pakar kardiologi beritahu saya dalam melaksanakan tugas menyelamatkan nyawa, setiap hari dia berdoa agar dapat memastikan dia tidak membawa pulang virus penyakit itu ke rumahnya, kepada anak lelakinya yang berumur setahun. Buat semua doktor, jururawat, pembantu perubatan, polis dan tentera, anda adalah wira sebenar dalam kehidupan ini.
"Jangan berputus asa, kerana sebaik sahaja anda berputus asa, segalanya musnah. Jangan berputus asa, teruskan usaha menjadi inspirasi kepada generasi anak-anak kita. Saya harap pihak yang diberikan kuasa mentadbir akan memberi keutamaan kepada keselamatan mereka, dan menyokong penuh keperluan mereka,” katanya.
Pada masa yang sama, juara Asia dua kali itu meminta kerjasama semua pihak agar kekal berada di rumah, bersikap jujur jika sakit dan mendidik orang lain dalam perjuangan menentang virus itu.
"Virus ini boleh ditewaskan, tapi kita perlu bekerjasama. Para doktor dan jururawat akan berusaha menyelamatkan nyawa, polis dan tentera akan memastikan sistem berjalan lancar, anda dan saya akan memastikan rantaian virus ini diputuskan, dengan duduk di rumah.
"Virus ini tidak mengenal mangsa, menyerang sesiapa jua tanpa mengira umur, jantina, bangsa mahu pun parti-parti politik,” tambahnya.