CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil rakaman percakapan lima suspek yang dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 di beberapa lokasi di Perak dan Pulau Pinang.
SKMM dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Iklan
Iklan
"Sehingga hari ini, SKMM telah menerima sebanyak 43 aduan awam membabitkan seramai 18 suspek dikenal pasti termasuk seorang selebriti telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
"SKMM dan PDRM bekerjasama melalui Jawatankuasa Jenayah Siber untuk menangani penyebaran berita palsu secara berterusan terutama mengenai Covid-19 yang boleh mengelirukan serta menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Kenyataan itu turut menyebut SKMM memandang serius sikap tidak bertanggungjawab individu atau kumpulan yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.
"Memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah. SKMM dan PDRM memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.
"Jika orang ramai tidak pasti mengenai kesahihan sesuatu berita, sila layari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram iaitu https://t.me/sebenarnyamy.
"Maklumat mengenai penularan berita palsu mengenai Covid-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu https://sebenarnya.my/salur/ di portal dan aplikasi Sebenarnya.my," katanya.