GOMBAK - Ketabahan dan kesabaran seorang pelajar tingkatan 5 diuji apabila buku dan nota bagi baki empat kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sempat diselamatkan dalam kebakaran, tengah hari tadi.
Muhd Haikal Kamarul Azman, 17, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, justeru cuti hujung minggu ini akan digunakan sebaiknya mendapatkan bantuan rakan-rakan bagi bahan bacaan dan ulang kaji.
"Saya menghuni Rumah Raudhatul Al-Faeez sejak empat tahun lepas dan ketika kejadian saya tiada di sini. Nak tak nak saya perlu ikhtiar cuti dua hari ini untuk persediaan peperiksaan kertas Perakaunan, Ekonomi, Matematik Tambahan dan Sains.
"Baju sekolah pun tak ada sebab kebetulan hari ini saya ke sekolah pakai baju sukan Saya juga mungkin tinggal sementara di rumah keluarga atau di dewan dan kejadian ini sedikit sebanyak ganggu fokus saya tapi masih bersyukur kerana terselamat daripada kebakaran ini,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Rizal Buang berkata, bilik gerakan menerima panggilan pada jam 1.14 tengah hari dan tiba di lokasi 23 minit kemudian.
"Rumah kelas B yang dijadikan rumah anak yatim terbakar 60 peratus melibatkan bahagian dapur dan bilik.
"Seramai 13 penghuni yang berada di lokasi sudah menyelamatkan diri ketika pasukan bomba tiba dan api berjaya dikawal jam 1.46 tengah hari,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Rumah anak yatim terbakar]