‘KORONA kau... ku masih di sini. Korona kau... ku bisa menangis. Dan Korona kau yang menghancurkan, ku tiada berteman...’
Itu permulaan lirik bertajuk Kerana yang diubahsuai daripada lagu kumpulan Alleycats oleh ‘orang kreatif’ yang tular di laman sosial. Ada benarnya. Ya, ternyata ia mampu mencuit sedikit hati di saat gundah gulana ini.
Ketika tulisan ini dibaca, pasti sebahagian besar dalam kalangan kita sedang duduk di rumah, bukan? Jika sebelum ini bebas ke mana-mana, buat masa ini semuanya harus akur mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sudah hampir seminggu Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bagi mengawal wabak Covid-19 yang sedang ‘menggila’ di seluruh dunia termasuklah di negara ini.
Ironinya, pada masa sama, ramai juga yang sedang ‘gila’ jadinya. Mungkinkah kerana tidak betah duduk diam di ‘sarang’?
Maka, bermulalah bermacam kerja dan idea ‘gila’. Samalah seperti si tukang ubah suai lirik lagu di atas. Barangkali sudah bosan terperuk di rumah. Tambahan pula jika berseorangan, macam-macam lagi perkara ‘gila’ yang dibuat.
Paling lazim kerja kebanyakan kita di rumah di saat ini sudah pastilah ‘gila menghadap telefon bimbit. Penulis percaya hasil Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social ada kaitannya dengan apa dilakukan pengguna pada hari ini.
Kajian itu menyingkap dapatan bahawa 75 peratus responden menggunakan perkhidmatan media sosial memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial.
Bayangkan dengan jumlah pengguna internet di negara ini, data menunjukkan peningkatan kepada 25.08 juta pengguna, mewakili 79 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan telefon bimbit.
Tiada salahnya memanfaatkan kemudahan itu, tambahan pula buat mereka yang gilakan perkara tertentu. Gila bikin rawatan rambut di salon, gila tengok wayang, gila ke gim, gila membeli-belah dan pelbagai lagi gila yang lain, semuanya boleh dilakukan di rumah dengan melihat contoh daripada Facebook, YouTube, Instagram dan sebagainya. Salah guna
Malangnya, tidak kurang pula yang menyalahgunakan telefon pintar pada musim Covid-19 ini.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, setakat ini sebanyak 42 siasatan berkaitan berita palsu dijalankan. Seramai enam orang akan didakwa mengikut Kanun Keseksaan berikutan menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19.
Padanlah jika dikenakan hukuman. Tindakan segelintir mereka yang ‘gila membawang’ menimbulkan rasa ketakutan dan panik orang awam.
Tidak kurang juga yang ‘gila’ menyebarkan mesej, nasihat dan tip yang tidak betul kononnya untuk mengelakkan terkena Covid-19. Syukurlah ramai pakar perubatan kita yang prihatin berusaha menangkis banyak maklumat palsu itu.
Semuanya bagi memastikan kesihatan orang awam tidak terjejas. Ketahuilah bahawa kebanyakan pseudosains yang disebarkan hanya mahu mengaut keuntungan untuk menjual produk dan sebagainya.
Tidak hairan juga maklumat mengarut yang dikongsikan bagi menagih tanda like atau mempunyai kepentingan tertentu penyebarnya.
Siapa sangka, satu lagi kegilaan teruk akibat penggunaan telefon pintar. Statistik menunjukkan peningkatan pengunjung laman pornografi di internet semasa tempoh kawalan ini.
Ia dilaporkan sebuah portal berita tempatan lengkap dengan paparan graf statistik yang dikeluarkan oleh laman porno terbesar di dunia kira-kira dua hari lalu.
Penulis berharap ia merupakan laporan palsu. Pun begitu, ternyata ramai rakyat Malaysia telah mengisi masa mereka dengan mencari istilah ‘Covid-19’ pada laman porno berkenaan melalui statistik yang ditunjukkan. Gila!
Data negara yang paling banyak mencari kata kunci itu menunjukkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan nombor empat di seluruh dunia, dengan populariti carian sebanyak 84 peratus. Slovakia menduduki tempat teratas pada tahap 119 peratus.
Menakutkan. Cukup-cukuplah dengan kegilaan yang ada. Hentikanlah gila yang ‘satu’ itu.