Covid-19: MEDAC umum langkah proaktif bantu usahawan, koperasi

Iklan
Wan Junaidi

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) hari ini mengumumkan tawaran penangguhan sementara bayaran balik komitmen pembiayaan usahawan dan koperasi di bawah di bawah agensinya bermula 16 Mac, 2020.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usaha itu serta beberapa langkah proaktif lain seiring matlamat untuk meringankan beban dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro serta koperasi yang terjejas akibat Covid-19.

Iklan
Iklan

Dalam satu kenyataan beliau berkata, ini seperti bantuan pembiayaan, pengeluaran penuh simpanan, penjadualan semula pembiayaan dan pengecualian sewa atau pengurangan sewaan bangunan.

"Menerusi pengumuman ini adalah diharapkan usahawan PKS, mikro dan koperasi dapat menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan secara positif serta yakin bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan isu melibatkan usahawan di seluruh negara," katanya.

Iklan

Beliau berkata, Bank Rakyat misalnya menyediakan pembiayaan tambahan RM200 juta bagi menampung keperluan koperasi serta perusahaan mikro dan PKS mulai 23 Mac, 2020, tertakluk syarat ditetapkan.

"Sebanyak 500 koperasi dan 2,000 mikro PKS akan dapat menikmati faedah pembiayaan ini,” katanya.

Iklan

Menurut Wan Junaidi, ini melibatkan Program Pembiayaan Khas BizCare bagi usahawan PKS, mikro dan koperasi serta Program Pendahuluan Tunai Kad Kredit-i.

SME Bank pula membantu dalam bentuk pembiayaan sehingga RM1.0 juta bagi tempoh 5.5 tahun dan berkadar 3.75 peratus untuk usahawan layak di bawah skim Kemudahan Bantuan Khas (SRF) diperuntukkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, semua usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) yang masih dalam tempoh pembiayaan, juga layak untuk diberi penangguhan bayaran balik pembiayaan maksimum sehingga enam bulan.

Bantuan berbentuk pembiayaan bertindih dengan penambahan jumlah baki pembiayaan sedia ada boleh dinikmati usahawan TEKUN Nasional terjejas dengan nilai maksimum sehingga RM10,000.

"Usahawan juga diberi pengecualian khas untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan. Pengeluaran simpanan adalah tertakluk kepada baki simpanan pembiayaan terdahulu dan pengeluaran simpanan bagi pembiayaan semasa (sekiranya ada) adalah tidak dibenarkan.

"Seramai 20,000 usahawan TEKUN dijangka dapat memanfaatkan bantuan ini dengan anggaran kos sebanyak RM180 juta," katanya.

Wan Junaidi berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pula memberi lanjutan tempoh tiga bulan membabitkan keperluan mengadakan Mesyuarat Agong Tahunan bagi manfaat sebanyak 14,600 koperasi.

Koperasi juga boleh memohon penangguhan bayaran balik pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-JPK) serta lain-lain pembiayaan sedia ada oleh SKM dengan melibatkan anggaran kos sebanyak RM16.5 juta.

Bank Rakyat turut menawarkan penangguhan bayaran untuk individu dan syarikat dalam industri terjejas seperti penerbangan, pelancongan dan pengangkutan dengan tempoh penangguhan selama enam bulan serta pengurangan sebanyak 50 peratus kadar keuntungan untuk pengeluaran wang tunai berbanding 18 peratus sebelum ini.

SME Bank pula menyediakan penangguhan tersebut bagi tempoh enam bulan serta penstrukturan semula pinjaman mengikut kes yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,800 pelanggan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM4.5 bilion.

Wan Junaidi berkata, penyewa premis dan ruang milik UDA Holdings Bhd akan menyaksikan seramai 1,500 penyewa menerima manfaat pengecualian atau pengurangan sewa melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

Koperasi pula diberi pertimbangan pengurangan sewaan bangunan diuruskan SKM sehingga maksimum 50 peratus untuk tempoh masa tertentu.

Jelas beliau, Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MAGIC) akan turut memberi pengecualian sewa selama lima bulan kepada penyewa Co-Working Space (CWS) di MAGIC, Cyberjaya dan B744 Kuching.

SME Bank pula akan memberi penangguhan sehingga enam bulan bagi sewaan Kompleks Premis Usahawan SME Bank melibatkan 248 penyewa dengan penjimatan kos sewaan berjumlah RM2.3 juta.

Selain itu, Wan Junaidi berkata, latihan dan program keusahawanan serta perniagaan akan diteruskan secara dalam talian oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MAGIC dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) dengan pemulangan semula yuran pendaftaran bagi program yang dibatalkan oleh INSKEN.

Dalam pada itu, pendaftaran sijil taraf bumiputera akan diluluskan walaupun siasatan premis belum dilakukan.

Bagaimana pun, tegas beliau, selepas tarikh tersebut, siasatan akan dilaksanakan semula dan lesen pendaftaran akan dibatalkan bagi syarikat yang tidak memenuhi taraf bumiputera.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.medac.gov.my.

- Bernama