PERKEMBANGAN mengenai penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Selain peningkatan jumlah kes jangkitan, jumlah kematian turut mencatatkan pertambahan.
Pihak kerajaan telah melakukan pelbagai langkah pencegahan termasuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Rakyat di seluruh negara diminta agar duduk di rumah manakala hampir semua premis perniagaan ditutup kecuali sektor tertentu sahaja dibenarkan beroperasi.
Sepanjang tempoh ketika virus itu menular di negara kita, kita jangan lupa akan jasa dan sumbangan yang diberikan oleh doktor dan jururawat di hospital. Merekalah frontliners yang kita perlu hargai sepanjang masa.
Dalam media sosial, kita dapat melihat rayuan daripada doktor atau jururawat agar orang ramai jangan lagi keluar rumah sesuka hari kerana ia akan memudaratkan keadaan.
Tatkala ramai daripada kita merungut tidak dapat keluar rumah bekerja atau ke mana sahaja kita suka, doktor dan jururawat yang bertugas di hospital kerajaan dan swasta tetap tekun menjalankan tanggungjawab mereka. Inilah pengorbanan mereka yang seharusnya kita tabik.
Kita perlu sedar, dengan mengikuti arahan daripada pihak kerajaan agar duduk di rumah sebenarnya sudah mampu meringankan tugas pengawai perubatan ini.
Tanpa merayau di luar, kita sudah mampu mengurangkan penularan virus sekali gus membantu meringankan bebanan ditanggung pegawai perubatan.
Petugas-petugas di barisan paling hadapan ini sesungguhnya memerlukan sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat.
Demi memberikan rawatan kepada pesakit yang dijangkiti virus Covid-19, mereka bergadai nyawa melakukan tugas yang begitu murni ini.
Sememangnya ketika wabak Covid-19 melanda seluruh negara, untuk melakukan bantuan pencegahan mungkin di luar kemampuan kita.
Adalah amat penting kita duduk dalam rumah. Kita perlu menjadi rakyat berhemah dengan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara.