KUALA TERENGGANU – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dilantik sebagai ejen bagi memasarkan hasil pertanian keluaran petani, penternak dan nelayan negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pelantikan itu dicapai dalam mesyuarat khas portfolio tersebut semalam bagi memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan dengan baik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung.
Menurutnya, TADC akan memanfaatkan kemudahan pasaran sedia ada iaitu sembilan Agrobazar Rakyat, (17) Agrobazar Kedai Rakyat, Pasar Tani Kekal Nyior (7), Pasar Tani Kekal Kerteh, Kemaman, My Farm Outlet dan Agrobazar Online di Chendering.
"TADC juga akan mengambil peranan untuk mencari ruang pasaran yang ada untuk memasarkan hasil pertanian Terengganu ke seluruh negara.
"Distribution Center (DC) yang lengkap dengan kemudahan bilik sejuk milik TADC di Telaga Papan Setiu pula akan berperanan sebagai pusat pengumpulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan perkembangan terbaharu tersebut, Dr Azman meminta petani, nelayan dan penternak yang berhasrat memasarkan hasil pertanian masing-masing menghubungi pegawai TADC bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Semoga langkah dan tindakan ini dapat menangani sebahagian isu pasaran hasil pertanian yang timbul disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan kerajaan sekarang,” katanya.
Dr Azman sebelum ini pernah membangkitkan isu pemasaran hasil pertanian yang merupakan dilema besar dihadapi petani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.
"Walaupun pergerakan kenderaan yang membawa hasil pertanian dibenarkan, namun mereka berdepan dengan isu ruang pasaran sangat terhad apabila pasar borong, pasar tani, pasar sehari dan pasar malam dihentikan operasi.
"Selain pertanian, hasil akuakultur seperti kerapu hibrid juga berdepan isu sama," katanya.