Indeks jenayah di Kuala Lumpur menurun

Iklan
Mazlan meninjau pematuhan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Balai Sri Murni hari ini.

KUALA LUMPUR – Indeks jenayah di ibu negara mencatatkan penurunan sebanyak 48 peratus sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga mendapati tiada laporan berkaitan jenayah ragut di bandar Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

"Jumlah kecurian motosikal juga menunjukkan penurunan. Ia mungkin hasil perlaksanaan 51 sekatan jalan sekitar bandar raya dan Putrajaya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau pematuhan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Balai Sri Murni hari ini.

Beliau berkata, seramai 3,127 anggota polis dan 420 anggota Angkatan Tentera telah dikerahkan untuk penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Iklan

"Kami mahu memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, setakat ini tahap pematuhan telah mencapai hampir 90 peratus, kita berharap ia akan mencapai 95 peratus," katanya.

Mazlan berkata, pihaknya juga akan meningkatkan sekatan jalan dan operasi di kawasan hotspot untuk koronavirus (Covid-19) iaitu Lembah Pantai, Kepong dan Titiwangsa.

Iklan

"Kami menasihati orang ramai untuk mengehadkan perjalanan mereka dan tinggal di rumah. Hadkan perjalanan mereka ke pasar raya dengan membeli barangan penting sahaja," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mazlan akan mengusulkan cadangan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengurangkan masa operasi di Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Kami juga mengesyorkan kepada pihak berkuasa tempatan itu untuk mengurangkan jumlah tenaga kerja di pasar berkenaan. Saya mendapati terdapat 440 gerai di sini dengan anggaran lima pekerja setiap premis itu, ia menjadikan jumlah pekerja di pasar berkenaan melebihi 2,000 orang,” katanya.