SEPANG - Seramai 434 keanggotaan terlibat sepanjang Ops Covid-19 di daerah Sepang sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, jumlah terbabit meliputi 400 anggota polis dari semua bahagian dan balai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang serta 34 anggota tentera.
Menurutnya, keanggotaan ini ditugaskan untuk sekatan jalan raya (SJR) iaitu Kilometer 12 Jalan Banting-Nilai, Jalan Dengkil-Bangi, Jalan Sepang-Sungai Pelek dan Jalan Aman Putra selain terlibat dalam penugasan rondaan.
"Sepanjang tempoh Ops Covid-19 setakat hari ini, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan semuanya terkawal.
"Orang ramai dinasihatkan dan diminta duduk di rumah untuk mengatasi penyebaran wabak virus ini. Sekiranya ada antara mereka terlibat dengan tabligh diminta tampil untuk membuat saringan Covid-19," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata, setakat hari ini, dianggarkan sebanyak 95 peratus penduduk telah mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan dan kebanyakan yang berada di jalan raya adalah bersebab.
Katanya, pemantauan mendapati premis dan kedai penjaja kecil yang diarah tutup mematuhi arahan tersebut. Namun beberapa premis seperti premis makan, ia beroperasi secara 'take away'.
"Saya nasihatkan paling penting adalah perlunya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Kedua, gunakan topeng muka sekiranya berada di kawasan tumpuan selain mematuhi jarak sosial," katanya.