KANGAR - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Pengajian Diploma (PPD) membantu Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang untuk memasang Terowong Sanitasi Mudah Alih (Mobile Sainitizing Tunnel).
Naib Canselor UniMAP, Profesor Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata, pemasangan terowong sanitasi tersebut merupakan keperluan kecemasan bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19) dengan menghilangkan virus atau bakteria yang melekat pada pakaian pesakit.
Katanya, pemasangan produk penyelidikan UniMAP itu merupakan salah satu sumbangan bagi membantu barisan hadapan yang sedang melawan pandemik berkenaan.
"Ini merupakan salah satu sumbangan kecil kita untuk bersama-sama membantu barisan hadapan yang sedang berusaha keras melawan virus yang melumpuhkan dunia pada hari ini.
"Saya menyeru agar semua universiti dan pusat pengajian tinggi di negara ini yang mempunyai produk atau hasil penyelidikan yang boleh membantu meringankan beban barisan hadapan untuk tampil bersama-sama bagi melawan virus yang membawa maut ini,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sementara itu, penyelidik Mobile Sanitising Tunnel, Erdy Sulino Mohd Muslim Tan berkata, produk tersebut adalah hasil ciptaan beliau bersama rakannya Mat Nor Mohammad Ismail.
"Terowong ini amat praktikal kerana ianya mudah alih dan boleh diletakkan di tempat-tempat yang berisiko sekaligus memudahkan staf KPJ menguruskannya.
"Mesin ini beroperasi secara automatik apabila orang melaluinya dan ia mampu menyemburkan kabus sehalus 10-15 mikron dengan menggunakan 'sanitizer' tanpa alkohol," katanya.
Erdy berkata, sehingga kini, pihaknya mendapat beberapa permintaan dari syarikat perkilangan dan hospital swasta di sekitar Pulau Pinang dan Kedah untuk memasang Mobile Sanitising Tunnel di kilang-kilang mereka.